BAGI mereka yang suka ‘memburu’ makanan lazat dan menggiurkan, ada sesuatu yang istimewa di Thyme, PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur sebagai mengisi masa hujung minggu anda menerusi Hi-Tea Buffet.
Hotel bertaraf lima bintang itu menyediakan anda hidangan istimewa dalam suasana santai restoran Thyme dengan pakej harga berpatutan setiap Sabtu dan Ahad.
Saya menerima undangan merasai empat hidangan istimewa yang wajib cuba di PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur, salah satunya adalah River Prawns in Rice Spring Roll.
Juadah yang berperanan sebagai pembuka selera dari Vietnam itu menggunakan udang segar dalam saiz besar.
Isinya dikeluarkan daripada kulit udang kemudian dibalut menggunakan kertas beras (Banh Trang), iaitu produk makanan berbentuk lembaran tipis berwarna telus.
Ia juga dibalut bersama sayuran segar dan gabungan beberapa sos khas masam manis dari negara berkenaan.

Spring roll ini antara kegemaran saya kerana rasa udang yang segar itu dengan beberapa bahan perasa memberi satu rasa yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Entah berapa kali saya mengambil makanan tersebut kerana satu spring roll sahaja tidak cukup. Jika anda datang ke ‘stesen’ spring roll ini, anda bakal menyaksikan udang segar besar diletakkan di atas ketulan ais bagi mengekalkan rasa dan kesegarannya.
Belum sempat menghabiskan juadah itu, saya dihidangkan Braised Australian Lamb Shoulder Rendang yang dimasak sempurna menggunakan cara tradisional Melayu.
Saya tidak dapat membayangkan bagaimana isi dagingnya yang lembut dan cair di mulut seolah-olah membawa saya ke satu dimensi lain – kerana tekstur dagingnya tidak seperti kambing tempatan yang banyak dijual di pasaran.
Dimakan bersama nasi putih panas, segala rempah-ratus yang terkandung di dalamnya menghasilkan rasa pes rendang yang menggamit nostalgia seperti hari raya.
Lebih istimewa, saya juga dihidangkan Jonker Walk Cendol dan Live Durian Teppanyaki Ice Cream. Jonker Walk atau Jonker Street merupakan tempat paling ikonik di Melaka dan salah satu keistimewaan yang dijual di kawasan sekitar adalah cendol.
Tetapi, daripada membuang masa meredah kesesakan lalu lintas ke Melaka, datang sahaja ke PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur untuk menikmati kelazatan ais yang dikisar halus dengan gula melaka serta tepung kanji berperisa pandan.
Mula dibuka kepada pelanggan bermula pukul 12.30 tengah hari sehingga 3 petang pada hujung minggu, pelanggan dewasa perlu membayar RM118.40 seorang (harga asal RM148), manakala kanak-kanak berumur enam hingga 11 tahun berharga RM74 dan percuma untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun.
Dengan pakej tersebut, anda sebenarnya bukan sahaja menikmati empat hidangan utama, malah, banyak lagi stesen juadah dari seluruh dunia tersedia seperti makanan asli kukus Cina (Dumpling
Double Boil Soup, Herbal Braised Beef with White Radish, Scallion Steam Bun).
Ada juga Beef Brisket (Texas Style Slow Cook Beef Brisket), ayam tandoori, Cat Paw Waffle, lauk-pauk lain, pelbagai jenis pencuci mulut, minuman sejuk dan panas, sayur-sayuran, roti dan sebagainya.
Selamat berhujung minggu!










