PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron melantik Francois Bayrou yang berhaluan tengah sebagai perdana menteri, memberikannya tugas berat untuk membawa Perancis keluar daripada krisis politik yang dihadapi selama berbulan-bulan.
Ketua parti MoDem berusia 73 tahun itu dilantik sembilan hari selepas Parlimen menggulingkan kerajaan Michel Barnier dalam undi tidak percaya berikutan kebuntuan mengenai bajet penjimatan.
Bayrou adalah perdana menteri keenam di bawah mandat Macron dan yang keempat untuk tahun ini.
Barnier yang paling singkat berkhidmat selepas hanya sempat bertahan selama tiga bulan.
Beliau menghadapi cabaran besar untuk membentuk Kabinet dalam Parlimen yang berpecah dan meluluskan bajet 2025 dalam usaha mengehadkan kegawatan ekonomi.
“Tiada siapa yang lebih tahu daripada saya tentang kesukaran keadaan ketika ini dengan Perancis menghadapi defisit belanjawan yang melambung ditambah dengan ketidakstabilan politik.
“Saya sedar sepenuhnya tentang beban sebesar Himalaya yang menanti kita,” katanya kepada wartawan.-AFP











