NAMA atlet menembak Korea Selatan, Kim Ye-ji secara tiba-tiba meledak selepas penampilan uniknya menjadi perhatian di Sukan Olimpik Paris 2024.
Bukan hanya dikagumi kerana kemahiran menembak, bahkan sikap bersahaja dan karisma Ye-ji menjadi ‘aura penarik’ bagi pemenang pingat perak dalam acara pistol angin 10 meter wanita, pada 28 Julai lalu.
Ye-ji digelar sebagai atlet paling bergaya yang menyertai temasya sukan terbesar dunia itu, dek kerana sikap tenang dan penampilan bersahajanya yang seakan bintang filem.
Video tular yang menaikkan nama Ye-ji bukanlah berasal dari Olimpik, tetapi daripada Piala Dunia ISSF (Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa) yang diadakan di Baku, Azerbaijan pada Mei 2024.
Ye-ji dilihat melakukan tembakan yang berjaya memecahkan rekod dunia sambil memakai seragam hitam Korea Selatan dengan dizip hingga ke leher, topi besbol dipakai ke arah belakang dan cermin mata atlet penembak berbingkai dawai.
Tidak seperti atlet lain yang meraikan sesuatu pencapaian, Ye-ji tetap mengekalkan ekspresi dingin walaupun mengetahui memecah rekod dunia.
Ye-ji kelihatan santai memuat pistolnya, membetulkan bendera Korea Selatan di atas meja dan mengangkat penutup mata dari atas mata kiri sambil menjeling ke sisi untuk memeriksa markah pada skrin yang diletakkan di sudut bawah dengan membuat pose bergaya.
Memandangkan beberapa kamera yang merakam acara itu biasanya diletakkan pada sudut sama, jelas kelihatan Ye-ji sedang memberikan pandangan dingin ke arah kamera tersebut.
Aura Ye-ji ternyata menjadi perhatian seluruh dunia, termasuk jutawan terkenal dan pemilik platform X, Elon Musk, yang menyarankan beliau untuk berlakon dalam filem aksi.
“Dia patut membintangi filem aksi, tidak perlu berlakon!,” kata Musk.

TAHUN BERTUAH
2024 menjadi tahun paling bertuah dalam kerjaya Ye-ji. Bukan sahaja meraih pingat perak dalam penyertaan sulungnya di Olimpik, malah turut merangkul pelbagai pingat utama lain sepanjang tahun ini.
Pada Januari lalu, beliau memenangi pingat perak dalam acara pistol 25 meter pada Kejohanan Rifle/Pistol Asia 2024 yang diadakan di Jakarta, Indonesia.
Kemudian, Ye-ji meraih pingat perak dan emas dalam acara pistol udara 10 meter dan pistol 25 meter di Baku pada Mei lalu.
Pingat keempat diraih pada Jun di Piala Dunia ISSF Munich di Jerman, apabila memenangi gangsa dalam acara pistol 25 meter.
Pada Julai pula, beliau melengkapkan koleksi pingatnya dengan meraih perak di Sukan Olimpik Paris 2024, menjadikan jumlah keseluruhan yang dimenanginya sepanjang tahun ini sebanyak lima.
Ye-ji berada di kedudukan nombor satu dunia dalam kategori pistol udara 10 meter ISSF dengan 6,720 mata setakat Ogos lalu, dan berada di tempat keempat dalam kategori pistol 25 meter.
Menurut profil ISSF, Ye-ji dilahirkan pada 4 September 1992 di Maepo, berdekatan dengan bandar Danyang di Korea Selatan.
Beliau yang mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun, mula mengambil bahagian dalam sukan menembak pada 2005.
Ye-ji kini merealisasikan harapan ramai peminat untuk menyaksikan penampilannya dalam dunia lakonan, selepas tampil pertama kali sebagai watak pembunuh upahan.
Atlet berusia 32 tahun itu membintangi sebuah filem berjudul Crush, yang merupakan siri pendek untuk projek global Asia.
Filem tersebut diarahkan oleh sutradara dari Korea Selatan menerusi syarikat hiburan, Asia Lab.
Projek filem yang masih dalam pembikinan ini akan menyaksikan Kim bergandingan dengan pempengaruh Korea Selatan, Sen.
Tuah Ye-ji juga berkembang ke dunia peragaan selepas tampil memperagakan jenama terkemuka antarabangsa seperti Louis Vuitton dan Balenciaga.










