ISLAMABAD: Pasukan Anti-Narkotik (ANF) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup sejumlah besar dadah jenis methamphetamine ke Kuala Lumpur.
Dalam operasi itu, 700 kilogram (kg) methamphetamine dirampas daripada sebuah kontena yang ditempah untuk Malaysia.
Menurut jurucakap ANF, operasi itu dilakukan di Terminal Asia Selatan Pakistan di Karachi berdasarkan maklumat risikan, lapor Express News.
Jurucakap itu memaklumkan, dadah berkenaan diseludup dengan mencampurkannya bersama kalsium karbonat.
“Sebanyak 854 beg kalsium karbonat di dalam bekas itu digeledah dan 28 beg didapati mengandungi methamphetamine. I
“Individu yang telah menempah kontena itu yang merupakan seorang penduduk Karachi sudah ditahan,” katanya.
Kontena tersebut dilaporkan ditempah oleh sebuah syarikat swasta di Karachi untuk dihantar ke Kuala Lumpur dan siasatan sedang dijalankan untuk menahan suspek lain yang terlibat dalam operasi itu.
Sebelum ini, anggota Pasukan Keselamatan Lapangan Terbang (ASF) di Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad menggagalkan cubaan menyeludup 1.3kg dadah jenis kristal ke luar negara dan berjaya menahan suspek yang terlibat.










