AI bukan faktor hilang kerja

AI bukan faktor hilang kerja

Anwar Ibrahim bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo melawat reruai selepas Majlis Peluncuran NAIO) di MITEC, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di negara ini bukan faktor kepada kehilangan banyak pekerjaan.

Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat agar menerima kemajuan teknologi maklumat (IT) secara meluas seiring dengan perkembangan semasa.

Beliau berkata, ia terbukti menerusi revolusi pendigitalan yang berlaku sebelum ini sehingga mencetuskan kebimbangan.

“Sewaktu dulu ketika penggunaan IT, ramai orang bimbang tapi kita boleh sebenarnya. Maknanya keupayaan pemikiran untuk menyelesaikan masalah ini tetapi latihan sangat perlu dan mendesak.

“Sebab itu kita perlu me­latih keupayaan anak tempatan untuk memberikan perisian supaya apa yang diberikan, dilontarkan AI itu adalah yang dimasukkan oleh kita bukan hanya dimasukkan oleh pandangan Barat atau Timur atau sistem lain,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pejabat AI Kebangsaan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.

Jelas beliau lagi, kerajaan terus komited untuk melatih anak tempatan seperti yang dilakukan dalam program MyMahir dan menyasarkan untuk melatih 50,000 orang dalam Kemahiran, Pengaturcaraan dan Analisis Data (AI) pada tahun depan.

“Saya tambah soal pemupukan nilai. Apa yang penting dalam negara kita, Madani ini ialah soal identiti, nilai, moral, etika kerana kita bicara soal manusia, kita tidak bicara soal mesin. Kita tidak hanya bicara AI dari segi mesin, kita bicara manusia,” ujarnya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Anwar menyifatkan Pelancaran NAIO dan Kod Etika dan Tadbir Urus AI (AIGE) merupakan langkah signifikan dalam transformasi digital Malaysia menuju ekonomi berasaskan teknologi tinggi.

Beliau berkata, pelancaran NAIO mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkasakan sektor digital sebagai teras pembangunan ekonomi negara selaras dengan keperluan dunia yang berpaksikan ekonomi digital.

Menurutnya, NAIO adalah bukti tekad untuk memacu transformasi digital dan membawa Malaysia ke hadapan dalam era ekonomi digital.

“Kod Etika dan Tadbir Urus AI pula menekankan prinsip kebebasan, ketelusan, keadilan dan inklusiviti dalam pembangunan serta penggunaan Kecerdasan Buatan (AI).

“Sektor digital merupakan kekuatan ekonomi global, justeru kerajaan komited memastikan pembangunan sektor ini berada di landasan yang betul,” katanya.

Kata beliau, penubuhan NAIO akan mengukuhkan keupayaan Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa, namun ia mesti dilaksanakan dengan nilai etika dan budaya bagi mengelak sebarang penyalahgunaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×