GEORGE TOWN: Tiga buah keluarga yang mendiami tiga buah rumah di sebuah plot tanah di Permatang Damar Laut, di sini kini berada dalam tekanan kerana dilaporkan bakal kehilangan tanah dan rumah mereka warisi sejak beberapa generasi lalu.
Hal ini demikian kerana, kawasan plot tanah yang diduduki itu terlibat dalam pengambilan tanah bagi projek pembinaan Lebuhraya Pan Island Link 2A (PIL2A) dari Batu Maung ke Pulau A (Pulau Silikon).
Difahamkan, projek lebuh raya itu dijangka melibatkan 13 kawasan lot tanah dengan keluasan sekitar 7,000 kaki persegi bagi setiap lot. Sebanyak 30 rumah terlibat dengan lebih 100 penduduk, termasuk warga emas dan kanak-kanak.
Namun, satu plot tanah dari kawasan itu menempatkan tiga buah rumah dengan 12 penghuni termasuk empat warga emas dikatakan tidak layak menerima pampasan kerana tidak mempunyai geran tanah.
Salah seorang penghuni di sebuah rumah di plot tanah tersebut Pang Siew, 66, berkata, mendiang bapanya, Hung Yoon Siew telah menetap di kawasan itu sejak 1974 apabila kerajaan negeri memindahkan penduduk dari Sungai Tiram, Kampung Jawa, dan Kampung Sungai Nipah untuk memberi laluan kepada pembinaan lapangan terbang.
Katanya, penduduk lain kebanyakannya bekerja sebagai pekebun kelapa hanya ditempatkan di tanah tersebut tanpa dokumen rasmi.
“Kami bukan penceroboh di kawasan ini, tapi generasi keempat yang mewarisi tanah.
“Tapi apabila ada berita mengenai pengambilan tanah awal tahun ini bagi memberi laluan kepada pembinaan PIL2A, kami sedar bahawa kami tidak mempunyai geran,” katanya ketika ditemui di Permatang Damar Laut di sini, semalam.
Dia bimbang dengan masa depan keluarga mereka kerana proses pengambilan tanah telah digazetkan sejak Mei lalu dan sesi pendengaran di Pejabat Daerah Balik Pulau juga telah diadakan pada Oktober lalu.
“Kami telah membuat permohonan geran pada Mei lalu tetapi sehingga kini, tiada keputusan. Kami berharap agar kerajan negeri mempercepatkan proses geran yang diminta keluar dari tanah ini pada 15 Februari 2025.
“Tanpa geran, kami tidak layak mendapat pampasan walaupun kami bukan penceroboh. Generasi sebelum kami tidak menyedari pentingnya dokumen ini (geran tanah),” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari ketika dihubungi memberitahu, pihaknya akan menjalankan semakan terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang kata putus.











