PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menekankan kepentingan kesinambungan dalam kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan keputusan Tan Sri Hamidin Mohd Amin untuk tidak mempertahankan jawatan presiden.
Menurutnya, perubahan adalah perkara biasa dalam dunia sukan tetapi ia perlu dilakukan secara terancang bagi memastikan perancangan sedia ada tidak terjejas.
“Saya lihat perubahan dalam sukan memang satu perkara yang biasa, cuma perlu ada kesinambungan.
“Pimpinan lama keluar, pimpinan baharu mesti ada kelestarian. Saya tak mahu apa-apa perancangan terganggu,” kata Hannah.
Beliau turut berharap FAM kekal komited dalam mengekalkan prestasi baik pasukan kebangsaan serta terus melaksanakan perubahan positif untuk bola sepak negara.
Hannah turut memuji sokongan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang komited membantu Harimau Malaya mencapai prestasi lebih cemerlang.
Rabu lalu, Hamidin mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan presiden FAM bagi penggal 2025-2029 yang dijadual berlangsung pada Februari 2025.
Hamidin menyatakan keputusannya dibuat bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk membawa FAM ke tahap lebih tinggi. – UTUSAN










