KADANG-KADANG, takrifan self-healing atau penyembuhan diri sama ada fizikal atau mental itu amat subjektif. Berbelanja makanan mewah untuk diri sendiri juga boleh dianggap sebagai salah satu pendekatan penyembuhan diri, lebih-lebih lagi ketika kita menuju ke penghujung 2024 dan dicadangkan supaya Festive Omakase di Nobu jadi pilihan.
Nobu Kuala lumpur
L4A-05, Level 4A, Shoppes at Four Seasons Place,
145, Jln. Ampang, Kuala Lumpur,
50450 Kuala Lumpur,
Saya juga mengambil kesempatan ‘menyembuhkan’ diri dengan merasai pengalaman santapan mewah dalam acara kulinari Festive Omakase di Nobu Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Nobu melancarkan tujuh menu eksklusif dengan tempoh masa terhad yang mana juadah ini hanya akan tersedia bermula 20 hingga 30 Disember ini berharga RM750 per individu, sekali gus menghangatkan lagi suasana percutian dengan masakan Nobu yang sempurna.
Nobu merupakan restoran Jepun yang terkenal di seluruh dunia dan mendapat pengiktirafan sebagai perintis masakan Jepun dengan gaya baharu.

Saya dihidang menu pertama, Japanese Fresh Oysters yang terdiri daripada dua jenis, Jalapeno Dressing dan Maui Onion Salsa. Pastinya juadah mempunyai rasa tiram amat segar seperti baharu diambil daripada lautan biru.
Tiram ini dipersembah dengan visual yang menarik dengan ketulan ais yang mengekalkan kesegarannya.
Kedua-duanya tidak terasa pedas, namun dengan campuran bawang Maui serta bahan perasa lain yang bersatu dengan jus asli daripada tiram, ia memberi 1001 kenikmatan bagi penggemar makanan laut.
Belum sempat menghabiskan tiram , saya dihidangkan lagi Kinmedai Calamansi Honey Dressing dengan menggunakan isi ikan mentah segar, Bottarga, Yuzu Gel dan Dry Miso. Makanan ini rasanya masam kerana kuahnya dibuat daripada jus limau.
Saya dihidangkan Nobu Style Sushi terdiri daripada empat jenis iaitu Toro, Kanpachi, Mongo Ika dan Botan Ebi. Kesemuanya memikat selera, namun, perhatian saya lebih tertumpu kepada Botan Ebi yang mempunyai rasa asap.

Secara visualnya, mungkin kesemua sushi ini kelihatan sama dengan sushi berada di pasaran. Tetapi, saya lebih gemar sushi ini khususnya Mongo Ika berasaskan isi udang, manakala Kanpachi daripada isi ikan.
Juadah seterusnya adalah Langoustine Sobagaki iaitu isi sepit ketam dan caviar, makanan yang terbuat daripada telur ikan tertentu yang diletak di atasnya.
Dengan taburan emas nipis (boleh dimakan) sebagai hiasan dan kepingan Nori Shitake Senbei di bahagian tepi yang memberi rasa rangup memuaskan, menyerlahkan lagi kemewahan pada menu tersebut.
Cuma, ia tidak terasa pedas dan mungkin terasa muak jika dimakan dalam kuantiti banyak. Tetapi, bagi mereka yang kurang gemar dengan makanan pedas seperti saya, Langoustine Sobagaki pastinya menjadi pilihan.
Saya dihidangkan lagi menu istimewa, daging lembu Wagyu Figs Teriyaki gred A5 dengan Burnt Cauliflower Puree. Tekstur daging yang dipanggang sempurna, lembut, ‘marbling’ dengan sos perapan teriyaki yang memberi rasa lebih karamel dan buah tin diletak di atasnya.
Soymilk Ozoni pula pencuci mulut berisi Daikon (lobak) dan mochi, iaitu makan proses Jepun daripada beras pulut yang ditumbuk sehingga lembut dan likat kemudian dibentuk menjadi bulat.
Kuah daripada susu soya memiliki rasa sedikit masin, pekat serta berlemak. Semangkuk sahaja tidak cukup untuk saya.
Saya tidak pernah merasai pencuci mulut paling sedap seperti Cherry White terdiri daripada Cherry Compote dan White Chocolate Mousse. Hiasan dan persembahan visual menggunakan balang kaca berisi asap cukup memukau apatah lagi dengan rasa manis, lembut dan berkrim.
Chef Eksekutif Nobu Kuala Lumpur, Philip Leong berkata, tahun ini sentiasa membawa keseronokan ketika pihaknya bersedia menyambut tetamu dengan menu yang meriah dan unik.

“Hidangannya mencerminkan kerja keras, dedikasi dan kreativiti pasukan kami dan ia perjalanan luar biasa untuk mencipta sesuatu yang benar-benar meraikan semangat Nobu semasa musim akhir tahun,” katanya.
Jangan lepaskan peluang datang ke Nobu Kuala Lumpur 20 hingga 30 Disember ini! – UTUSAN









