Trauma mangsa keganasan Israel di Lubnan

Trauma mangsa keganasan Israel di Lubnan

PANDANGAN kosong Rihab yang masih trauma dengan kehilangan suami dan dua anaknya akibat pengeboman Israel pada 10 Oktober di Lubnan. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEDILAN bom Israel yang kedengaran hampir setiap hari sejak Oktober 2023, sangat menggusarkan hati penduduk Lubnan, terutama di pinggir selatan Beirut.

Keganasan yang berlangsung selama lebih 13 bulan bukan hanya menjadikan Rihab Faour sebagai pelarian di negara sendiri, bahkan terpaksa menelan trauma berat akibat kehilangan suami dan dua anak perempuan.

Wanita berusia 33 tahun itu dan keluarganya terpaksa meninggalkan kediaman sebanyak empat kali untuk mengelak serangan bom Israel.

Setelah setahun melarikan diri daripada serangan rejim, Rihab terpaksa akur bahawa keganasan Israel menyebabkan tiada lagi tempat yang dirasakan selamat buatnya di Lubnan.

Episod kehidupan pelarian Rihab bermula pada Oktober 2023, selepas pertempuran rentas sempadan tercetus antara Hezbollah dan rejim Israel di selatan Lubnan.

Bom Israel jatuh cukup dekat dengan kampung Ribah sehingga dia dan suaminya, Saeed membawa dua anak perempuan, Tia, 8, dan Naya, 6, melarikan ke rumah ibu bapa Rihab di Dahieh, sebuah kawasan pinggir bandar Beirut.

Pada awalnya, mereka sekeluarga boleh menjalani kehidupan seperti biasa walaupun kadang kala kedua anak Rihab mengadu merindui rakan, rumah dan mainan yang terpaksa ditinggalkan.

Namun tidak lama kemudian, Israel memperluaskan pengeboman di Lubnan yang turut melibatkan beberapa kawasan di Beirut, terutama pinggir bandar Dahieh.

Ekoran keganasan terbaharu itu, keluarga Rihab sekali lagi melarikan diri dan kali ini ke sebuah rumah sewa di kawasan Jnah, Beirut, sebelum berpindah pula ke sebuah apartmen sewa di kawasan Basta.

Jika dahulu Rihab dan suami bimbang apabila terdengar dron Israel berlegar di udara, tetapi bunyi itu semakin biasa bagi mereka bahkan sudah tidak lagi dipeduli.

HILANG SEKELIP MATA

Kejadian pada 10 Oktober lalu benar-benar menguji Rihab apabila sebuah bom buatan Amerika Syarikat (AS) membedil bangunan tiga tingkat dan turut memusnahkan sebahagian bangunan bersebelahan sehingga meragut 22 nyawa, termasuk wanita serta kanak-kanak.

Ia adalah serangan paling maut di pusat Beirut sejak pertempuran bermula, apatah lagi tentera Israel tidak mengeluarkan amaran menyebabkan bangunan itu penuh dengan mangsa.

Tatkala tersedar, Rihab mendapati dirinya berada di Hospital Zahraa di Beirut dalam keadaan tidak mampu bergerak. Belakang serta lengannya cedera teruk dan beliau menjalani sekurang-kurangnya dua pembedahan.

Wanita itu cuba menghadam apa yang berlaku kerana ingatan terakhirnya hanya ketawa bersama anak-anak semasa sedang makan malam.

Detik itu rupanya kenangan terakhir yang dicipta Rihab bersama suami, Tia dan Naya, apabila mereka disahkan terkorban.

Lebih memeritkan, Rihab mengetahui pemergian mereka selepas dua minggu apabila ahli keluarganya memilih untuk merahsiakan berita itu kerana bimbang akan menjejaskan proses pemulihan.

Enam minggu kemudian, Rihab hanya menjalani kehidupan dengan penuh derita dan air mata.

Ketika itu juga beliau dalam proses pemulihan daripada pembedahan, dengan lapan skru dipasang pada tulang belakang dan tiga lagi di lengan.

Sesekali Rihab akan melihat semula gambar dan video telatah arwah anak-anaknya untuk sekadar melepaskan kerinduan.

Walaupun masih memendam kesedihan, Rihab perlahan-lahan mula memikirkan rancangan untuk menyambung pengajian.

“Saya perlukan sesuatu untuk mengisi hari-hari saya,” katanya dengan mata kelihatan sayu dan wajah pucat kepada BBC.

Rancangan Rihab itu juga susulan gencatan senjata yang diumumkan minggu yang menamatkan keganasan panjang Israel di Lubnan.

Berikutan itu, ribuan orang dipindahkan kembali ke kampung halaman mereka di selatan Lubnan.

Kampung Rihab teruk dibom oleh Israel dan rumah keluarga mereka juga musnah, namun beliau tidak dapat kembali semula ke kawasan itu kerana masih dalam proses pemulihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×