SEOUL: Parti pembangkang utama Korea Selatan menggesa Presiden, Yoon Suk Yeol meletakkan jawatan serta-merta atau berdepan pemecatan.
Gesaan itu dibuat beberapa jam selepas Suk Yeol menamatkan dekri tentera singkat yang mendorong pasukan pertahanan mengepung Parlimen sebelum penggubal undang-undang mengundi untuk membatalkannya.
Suk Yeol belum membuat sebarang respons awam segera terhadap tuntutan pembangkang itu.
Tetapi pejabatnya berkata, penasihat kanan presiden dan setiausahanya menawarkan untuk meletakkan jawatan secara kolektif dan Suk Yeol juga menangguhkan jadual rasminya sepanjang hari ini.
Malam tadi, Suk Yeol secara tiba-tiba mengenakan undang-undang darurat tentera dan berikrar untuk menghapuskan pasukan anti-negara selepas beliau bergelut untuk meneruskan agendanya di Parlimen yang dikuasai pembangkang.
Selepas pengisytiharan tersebut, tentera yang membawa senapang dan pegawai polis segera dikerahkan berkawal di Parlimen untuk mengharamkan kemasukan orang ramai, ketika penunjuk perasaan berkerumun di luar perkarangan bangunan berkenaan.
Seorang jurugambar Associated Press melihat sekurang-kurangnya tiga helikopter dari tentera mendarat di dalam kawasan berkenaan, manakala dua atau tiga helikopter mengelilingi di sekitarnya.
Tetapi undang-undang tenteranya berkuat kuasa hanya selama kira-kira enam jam selepas Dewan Negara mengundi untuk menolak arahan itu menyebabkan pengisytiharan tersebut secara rasmi ditarik balik sekitar 4.30 pagi (waktu tempatan) semasa mesyuarat Kabinet.
Tiada keganasan besar dilaporkan dan tentera serta anggota polis kemudiannya dilihat meninggalkan kawasan Dewan Negara selepas pengundian Parlimen untuk menarik balik dekri tersebut.
Parti Demokrat pembangkang liberal, yang memegang majoriti dalam parlimen 300 kerusi, berkata, penggubal undang-undangnya memutuskan untuk menyeru Suk Yeol untuk meletak jawatan serta-merta atau mereka akan mengambil langkah untuk menggulingkannya.
Parti Demokrat dalam satu kenyataan berkata, pengisytiharan undang-undang tentera Suk Yeol adalah jelas melanggar Perlembagaan.
“Ia tidak mematuhi sebarang keperluan untuk mengisytiharkannya. Pengisytiharan undang-undang tentera itu juga secara dasarnya tidak sah dan pelanggaran berat Perlembagaan.
“Ia adalah tindakan pemberontakan yang serius dan memberikan alasan yang sempurna untuk mendakwa beliau,” katanya.
Parti Kuasa Rakyat pimpinan Han Dong-hun yang memerintah menuntut Suk Yeol menjelaskan keputusannya dan memecat Menteri Pertahanan, Kim Yong Hyun yang didakwa mengesyorkan dekri undang-undang tentera tersebut kepada beliau.
Parti pembangkang utama Korea Selatan turut memaklumkan akan memfailkan tuduhan pemberontakan terhadap Suk Yeol dan pegawai keselamatan tertinggi lain berhubung pengisytiharan dekri berkenaan.
“Kami akan memfailkan tuduhan pemberontakan terhadap Suk Yeol, menteri pertahanan dan dalam negerinya serta tokoh utamapasukan pertahanan yang terlibat, seperti komander undang-undang tentera dan ketua polis,” kata Parti Demokrat dalam satu kenyataan.-AP










