PETALING JAYA: Top Glove Corporation Bhd. terus menetapkan matlamat untuk mencapai sifar karbon sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk mengurangkan kesan persekitaran dan meningkatkan kelestarian operasi mereka.
Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Top Glove Corporation Bhd., Tan Sri Dr. Lim Wee Chai berkata, walaupun syarikat sedar ini akan menjadi cabaran, pihaknya menumpukan usaha untuk mengurangkan emisi karbon melalui penggunaan tenaga solar dan pembakar gas yang lebih cekap.
“Ini memfokuskan penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan kualiti sarung tangan dengan mengurangkan berat sarung tangan yang memerlukan penggunaan bahan mentah yang lebih sedikit.
“Selain itu, kami akan terus melabur dalam automasi yang lebih baik untuk mengurangkan kebergantungan pada tenaga kerja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau menjelaskan, globalisasi dan situasi geopolitik yang berkembang telah mengubah landskap persaingan.
“Kami menghadapi cabaran yang kuat daripada pengeluar sarung tangan China, namun dengan pengenaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas pemain China dan Malaysia sebagai negara neutral, kami kini mempunyai kelebihan yang lebih besar,” katanya.
Wee Chai berkata, Top Glove juga menghadapi kekurangan tenaga kerja di Malaysia dengan kenaikan gaji minimum yang telah dilaksanakan dan lebih memburukkan keadaan kerajaan tidak membuka kuota baru untuk pekerja asing.
“Walaupun permintaan sarung tangan semakin meningkat, kami tidak dapat meningkatkan pengeluaran kerana kekurangan tenaga kerja.
“Oleh itu, kami terpaksa memperluaskan operasi kami ke Thailand dan Vietnam yang menawarkan pelbagai manfaat dari segi ketersediaan tenaga kerja serta sokongan baik dari segi perniagaan daripada kerajaan negara-negara tersebut,” katanya.
Sementara itu, dari segi jenis sarung tangan, fokus Top Glove kini adalah pengeluaran sarung tangan nitril yang mendapat permintaan lebih tinggi, namun pihaknya juga mengekalkan pengeluaran sarung tangan getah asli sedia ada kerana sarung tangan getah asli dapat memenuhi keperluan ketat Peraturan Pembalakan Kesatuan Eropah (EUDR) yang baharu.
“Sasaran kami untuk tahun kewangan 2025 adalah pertumbuhan volum sebanyak 50 peratus serta kembali kepada kedudukan untung, di mana kami berharap untuk memulakan semula pembayaran dividen kepada pemegang saham setia kami,” katanya.-UTUSAN









