Angkat seni cara LUAS - Utusan Malaysia

Angkat seni cara LUAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA angin yang membadai lapangan muzik independen selepas sebahagian penggeraknya mengenali Clubhouse. Badaiannya membawa natijah positif kerana melalui aplikasi itu, lebih ramai penggerak mula berkomunikasi.

Walaupun ramai melihat aplikasi itu agak eksklusif, itu bukan masalah kerana hasil komunikasi itu diteruskan di luar Clubhouse. Ada kumpulan Whatsapp dibentuk dan penggerak-penggerak ini terus berkomunikasi, berinteraksi sehingga hal bersejarah seperti Hari Gig Kebangsaan berjaya dilaksana.

Satu hasil penting yang jelas dilihat, semakin ramai yang bercakap tentang ekosistem dan kolaborasi. Ramai mula sedar, lapangan muzik independen ada banyak anggota, bukan sekadar tentang artis dan kugiran.

Para pembising
Jika anda masih ingat, artikel pertama Rondivu adalah tentang media independen. Saya menampilkan tiga media iaitu Junklist, Music Addicts Malaysia (Mamy) dan Writers Daily. Saya juga pernah menampilkan Awad daripada Awad Studio dan Nizang daripada Mosh Zine dalam ruangan ini.
Saya menyedari kepentingan mereka ini. Tugas mereka membuat bising, memberitahu semua orang tentang apa yang terjadi di bawah tanah.
Tanpa mereka, lapangan muzik independen cacat. Maklumat terkepung dalam kepompong independen sahaja.
Sebab itu, saya tidak akan berhenti menampilkan para penggerak media independen dalam ruangan ini. Kali ini, saya menampilkan LUAS.

Angkat seni
LUAS ialah singkatan kepada Layar Untuk Angkat Seni. Mereka dianggotai tiga anak muda yang bukan sahaja punya semangat dan dekat dengan lapangan muzik independen tempatan, malah ada kemahiran tersendiri.
Gob berpengalaman mengendalikan kandungan Youtube untuk ramai pempengaruh; Asip memang bekerja sebagai juruvideo manakala Teha ada kemahiran grafik. Ini semua kelebihan untuk mereka mengendalikan LUAS yang operasi utamanya sebagai saluran Youtube.
Mereka bermula dengan memerhati media independen yang ada dan memperbaiki kelemahannya, menjadikan LUAS setapak lebih terkehadapan dalam arena mereka.
Kata Gob, mereka mahu apabila buat kerja ini, mereka beri sehabis baik.
“Contohnya, alang-alang dah temu ramah dan buat liputan tentang kugiran, apa salahnya kami guna dua kamera untuk dapatkan sudut yang menarik kemudian masukkan lower third.
“Ini supaya penonton nampak, media independen pun ada otak dalam pembikinan video,” katanya.

Variasi media
Kerja mendidik masyarakat perihal muzik dengan cara ‘berat’ sudah ramai buat, terutamanya dalam medium penulisan. Untuk rancangan video juga, kerja mengorek pengetahuan muzik dan teknikal kugiran pun ada yang buat.
LUAS menawarkan variasi. Mereka meneroka sudut ringan tentang muzik. Perihal kehidupan harian kugiran, menerjah mereka di rumah masing-masing, soalan peribadi yang memotivasi.
“Kami ambil idea program TV, bawa ke Youtube dan scene indie,” terang Teha. Baginya, LUAS ialah peluang untuk kugiran independen mempunyai kandungan selain persembahan muzik di Youtube.
“Kalau kita cari di Youtube, mungkin keluar lagu mereka saja. Dengan kandungan yang yang ada di LUAS, mereka boleh bina reputasi dan jenama juga,” katanya.

Berdamai dengan Evolusi
Revolusi industri sudah beberapa tahun menjengah ke tahap keempat. Perlakuan dan gaya hidup manusia berubah, termasuklah dalam soal media.
Seperti pandangan Asip, pengaruh TV dan akhbar tidak lagi sebesar dahulu. Ruangan yang dahulu didominasi beberapa jenis media kini semakin banjir.
“Kita tahu dulu ada zine sebagai platform untuk segala maklumat tentang gig dan kugiran, tapi sekarang zine tidak lagi ditunggu-tunggu seperti dulu.
“Kepentingannya sama, cuma mediumnya berbeza. Melalui media seperti yang kami buat, orang ramai boleh dapatkan maklumat tentang scene,” kata anggota termuda LUAS itu.

Begitulah dunia yang berevolusi. Evolusi gaya hidup dan budaya bukanlah sesuatu yang boleh ditahan-tahan. Apa yang boleh kita lakukan adalah merangkul dan memanfaatkannya.

Untuk anda yang mahu tahu lebih lanjut tentang LUAS, boleh cari mereka di Twitter, Instagram dan Youtube dengan carian kata kunci Luas.my.

Sokong seluruh ekosistem lapangan muzik independen, kemajuan yang kita cari akan tiba. Bantu LUAS tegakkan layar supaya mereka boleh terus mengangkat seni tempatan!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×