Banjir dijangka paling buruk

Banjir dijangka paling buruk

TINJAUAN dari udara menunjukkan keadaan Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan dan kampung di sekitar Pekan Kuala Berang, Hulu Terengganu terjejas selepas dilanda banjir semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Banjir dijangka berlaku lebih teruk kali ini dalam tempoh 10 tahun di enam negeri terutama di negeri-negeri Pantai Timur berbanding ‘bah kuning’ pada tahun 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan fokus dan ramalan dikeluarkan Jabatan Me­teorologi (MetMalaysia).

Katanya, fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di Pantai Timur minggu depan turut memburukkan si­tuasi banjir apabila air sungai tidak dapat keluar ke laut.

“Walaupun pada peringkat awal ini di Pahang dan Johor belum terjejas, tetapi kita jangkakan di awal Disember, Pahang dan Johor akan terjejas yang mana akan menerima luruan hujan.

“Air sungai juga akan melimpah dari Terengganu ke Pahang dan sungai dari Pahang juga akan melimpah ke Johor,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kecema­san bencana banjir di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, pihaknya akan mengikut nasihat dan pandangan daripada METMalaysia dalam perkara ini.

Menurut beliau, pihaknya akan memantau situasi dari semasa ke semasa berdasarkan pemantauan dan jangkaan MetMalaysia.

“Kerajaan juga sudah bersedia lebih awal dan melakukan siap siaga termasuk mengaktifkan sistem amaran awal oleh METMalaysia.

“Kerajaan akan memastikan semua pasukan keselamatan lebih bersedia kali ini bagi mengelak keadaan lebih teruk,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, tumpuan utama ketika ini adalah memantau bencana dan situasi semasa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Katanya, setakat ini, seramai 82,000 anggota keselamatan pelbagai agensi telah dikerahkan ke negeri-negeri dilanda banjir termasuk 5,107 aset darat, air dan udara.

“Selain itu, sebanyak 30,260 jaket penyelamat turut tersedia bagi kegunaan penyelamatan mangsa,” katanya.

Sementara itu di Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,
Kerajaan Persekutuan bersama enam kerajaan negeri yang terjejas akibat banjir akan memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk terjamin sepanjang menghadapi Monsun Timur Laut ketika ini.

Enam negeri yang terjejas ketika ini ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan Perak.

Anwar berkata, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 37,189 membabitkan 11, 385 keluarga di enam negeri yang terkesan setakat pukul 9.32 pagi, semalam.

Katanya, sebanyak 323 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di enam negeri yang terjejas bagi memberi perlindungan kepada mangsa.

“Saya ucap terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan seluruh jentera termasuk kerajaan negeri yang memberi kerjasama dalam persiapan yang lebih baik tahun ini.

“Nadma telah diarah untuk memperkemaskan penyelerasan seluruh jentera agensi Persekutuan dan negeri.

“Ini bagi memastikan keselamatan mangsa banjir dan penduduk di kawasan terkesan menjadi keutamaan tinggi sepanjang tempoh Monsun Timur Laut november 2024 hingga Mac 2025,” katanya dalam Dewan Rakyat semalam.

Anwar berkata, Kelantan merekodkan mangsa banjir yang tertinggi ketika ini membabitkan 30,582 orang bersamaan 9,232 keluarga.

“Sebanyak 157 PPS telah dibuka di sembilan daerah di Kelantan,” katanya.- UTUSAN

Sementara itu, Pakar Meteorologi di Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Azizan Abu Samah juga turut meramalkan negeri-negeri Pantai Timur terutama Kelantan berisiko dilanda banjir lebih buruk daripada fenomena bah kuning pada 2014 berikutan hujan lebat dan pola tiupan angin kencang berterusan sehingga Ahad ini.

Katanya, sistem hujan berskala meso (pertengahan) akibat luruan monsun kini aktif menyebabkan hujan lebat berterusan yang mampu menyebabkan banjir besar terutama di kawasan utara pantai Timur Semenanjung serta selatan Thailand.

Menurutnya, keterukan sesuatu kejadian banjir bukan sahaja bergantung kepada jumlah curahan hujan tetapi lokasinya.

“Untuk episod banjir terkini, perkembangan banjir dan pola hujan perlu dipantau dengan teliti, manakala langkah mitigasi di peringkat daerah mesti dilaksanakan bagi mengurangkan kesan buruk kepada penduduk.

“Data terkini daripada laman ramalan cuaca Nullschool menunjukkan Sungai Golok menerima aliran air dari kawasan selatan Thailand serta beberapa sungai di Kedah dan Perak.

“Sistem hujan berskala meso yang dikaitkan dengan luruan monsun turut meliputi kawasan seluas 200×100 kilometer yang membawa hujan lebat berterusan dan berpotensi menyebabkan banjir besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Felow Akademi Sains Malaysia, Dr. Fredolin Tangang pula berkata, menurut ramalan platform Windy berdasarkan beberapa model global seperti Model Ramalan Cuaca Eropah (ECMWF), tiupan angin kencang akibat episod luruan sejuk dijangka berakhir lewat Sabtu atau Ahad ini.

Beliau berkata, sejak beberapa hari lalu sudah membawa kelembapan ke Semenanjung dengan penumpuan kelembapan yang lebih ketara di Kelantan, Terengganu dan bahagian utara serta selatan Thailand.

Jelasnya, fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO) dalam fasa tiga atau empat turut menyumbang kepada peningkatan kelembapan di kawasan pantai Timur.

Seramai 45,540 mangsa banjir membabitkan 13,864 keluarga kini ditempatkan di 381 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri.

Setakat pukul 1 tengah hari semalam, data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan, Kelantan merekodkan jumlah paling ramai dengan 36,975 mangsa di 10 daerah.

Terdahulu, banjir besar yang melanda negara merekodkan lebih 300,000 orang dipindahkan dengan 38 amaran cuaca buruk iaitu 15 amaran peringkat merah, 15 amaran oren dan lapan amaran kuning. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×