MOSCOW: Russia mengarahkan seorang diplomat Britain meninggalkan negara itu kerana didakwa mengintip, memburukkan lagi hubungan yang sedia tegang antara kedua-dua negara.
Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) berkata, diplomat berkenaan, Edward Prior Wilkes menjalankan risikan dan sengaja memberikan maklumat palsu ketika memohon memasuki negara itu.
“Semasa kerja perisikan balas, FSB menemui kehadiran perisikan Britain yang tidak diisytiharkan di bawah perlindungan kedutaan negara di Moscow.
“Pada masa sama, kami menemui tanda-tanda diplomat tersebut menjalankan risikan dan kerja subversif yang mengancam keselamatan Persekutuan Russia,” kata badan itu dalam satu kenyataan.
Menurut FSB, Wilkes bertugas sebagai setiausaha kedua di pejabat kedutaan Britain di Moscow dan tiba di ibu negara pada Ogos untuk menggantikan seorang daripada enam diplomat yang diisytiharkan sebagai persona non grata kerana pengintipan.
Jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova berkata, keputusan dibuat untuk membatalkan akreditasi diplomat Wilkes dan beliau sudah diarah meninggalkan negara itu dalam tempoh dua minggu.
Katanya, Duta Besar Britain ke Moscow, Nigel Casey juga sudah dipanggil berhubung isu tersebut.
Jurucakap Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan Britain (FCDO) menegaskan tuduhan itu tidak berasas dan bukan kali pertama Russia berbuat demikian terhadap kakitangannya.
Hubungan antara Britain dan Russia semakin tegang sejak permulaan perang Ukraine apabila London menyertai gelombang sekatan berturut-turut terhadap Moscow dan memberikan senjata kepada Kyiv.
Situasi dilihat bertambah buruk selepas Kyiv didakwa menembak peluru berpandu pelayaran Storm Shadow buatan Britain di wilayahnya buat kali pertama minggu lalu.-AGENSI











