India rampas 5,500 kilogram methamphetamine dari bot Myanmar

India rampas 5,500 kilogram methamphetamine dari bot Myanmar

PENGAWAL Pantai India menunjukkan 5,500 kg methamphetamine yang dirampas daripada bot Myanmar di Laut Andaman, Isnin lalu.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Pengawal pantai India merampas sebuah kapal Myanmar yang membawa 5,500 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine di Laut Andaman, menjadikannya rampasan dadah terbesar dalam sejarah negara itu.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan India, bot nelayan yang berdaftar di Myanmar, Soe Wai Yan Htoo, dikesan oleh pasukan peronda udara Pengawal Pantai India di Laut Andaman pada Isnin lalu kerana beroperasi dalam keadaan mencurigakan.

Pihak berkuasa menaiki bot untuk siasatan, apabila ia memasuki perairan wilayah India.

“Enam kru di atas kapal itu dikenal pasti sebagai warga Myanmar dan hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 5,500 kilogram dadah terlarang jenis methamphetamine,” kata kementerian berkenaan.

Kapal tersebut bersama kru dibawa ke pangkalan tentera laut India di Sri Vijaya Puram, ibu kota Kepulauan Andaman dan Nicobar, untuk siasatan lanjut.

Rampasan itu, menurut kenyataan Pengawal Pantai India, merupakan yang terbesar dalam sejarah operasi maritim mereka, sekali gus menyerlahkan ancaman yang semakin meningkat terhadap pengedaran dadah rentas sempadan melalui laluan laut.

Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), kegiatan penyeludupan dadah haram dari Myanmar melalui Laut Andaman semakin meningkat apabila kartel dadah cuba mengelak kawalan darat.

UNODC turut mengesahkan negeri Shan di Myanmar merupakan pusat utama pengeluaran methamphetamine di rantau ini.

Negeri Shan terletak di kawasan Segi Tiga Emas iaitu sebuah wilayah pergunungan di utara Lembangan Sungai Mekong yang bersempadan dengan Thailand, Laos, dan Myanmar.

Kawasan ini sejak sekian lama dikaitkan dengan pengeluaran dadah haram, termasuk sebagai sumber utama opium pada era 1970-an dan 1980-an, sebelum beralih kepada pengeluaran dadah sintetik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×