Wartawan: Pengacung obor kebenaran

Wartawan: Pengacung obor kebenaran

AYA tutup muka diilham dari Meor Hailree dan Api Husien. Hayrul Bariyah mengetik kamera. Hafiz Nor dan Alif Iqbal melempar kertas serta menata rias. Semua kertas berterbangan ialah artikel terpilih tulisan Ku Syafiq.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ENTAH macam mana, saya belajar menjadi manusia tidak cepat berpuas hati daripada Akademi Fantasia.

Ketika itu musim keempat, Adlin Aman Ramlie dan arwah Mamat Khalid jadi pengkritik. Kalau tak silap, Adlin yang bergurau kata Mamat terlalu cepat berpuas hati.

Itu tidak pelik sebab memang banyak pegangan hidup saya dibentuk melalui karya dan orang seni. Filem Shawshank Redemption, Good Will Hunting dan Dead Poets Society sangat besar pengaruhnya.

Mungkin juga, minat menulis saya dibentuk lagu Mantera Beradu secara separa sedar, apabila Malique kata teman baiknya buku, bininya pena tak pernah lena.

Sebab itu, saya selalu letak penanda aras tinggi dalam penulisan dan kewartawanan. Daripada bermimpi mahu menulis seperti Azrul Hakimie, Syukri Shaari dan Herman Hamid, saya regangkan cabaran sehingga Zin Mahmud dan Ku Seman Ku Hussain.

Walaupun belum mencapai tahap yang di atas, saya sudah mahu letak penanda aras baharu. Mahu baca Hunter S. Thompson dan Lester Bangs pula.

Penanda aras yang tinggi buat saya selalu tak senang duduk. Segala pencapaian dirai tapi tetap belum berpuas hati. Mahu kejar dan ajar diri menulis dengan lebih baik.

Segala ruang dan kebebasan yang diberi syarikat saya manfaatkan.

Elak dan lari jauh daripada kejadongan

Menjadi kolumnis akhbar besar seperti Mingguan Malaysia mengajar saya berhujah dengan isi. Sejak bulan kedua, saya sudah beranikan diri menulis rencana pendapat.

Untuk menulis rencana pendapat, saya berpegang kepada pesan dua manusia. Satu, Rosli Ibrahim yang kata pada saya, keistimewaan terbesar wartawan ialah akses. Dua, Aziah Jaafar yang dulu pernah membebel bahawa story itu maruah wartawan.

Saya manfaatkan akses yang ada untuk membentuk perspektif dan pandangan yang saintifik. Bukti-bukti dikutip dari pengalaman membaca dan berbual dengan orang.

Namun, harus diingat, kebenaran tidak tertegak dengan bukti anekdotal. Kebenaran juga tak hidup dengan sangka-sangka.

Dalam setiap pandangan, perlu ada bukti kukuh dan menyeluruh. Tanpanya, pandangan tempang dan pandangan wartawan yang tempang akan meluruhkan maruahnya.

Wartawan perlu menguasai teknik mencari kebenaran. Fikirannya saintifik dan pegangan moralnya lurus. Wartawan yang bodoh, sombong atau jahat tidak akan mekar kerjayanya. Apatah lagi yang ada ketiga-tiga sifat — jadong.

A. Samad Said kata, penulis perlu peka pada kepincangan dan berusaha membaiki kepincangan. Saya kata, penulis-wartawan perlu berstamina untuk berlari mengacung obor kebenaran.

Mewaras dan menyeni

Ketika bertugas di meja ekonomi, saya mula menyunting laporan secara runcit-runcit; ketika ketua meja bercuti. Di Relevan, ia sudah jadi tugas harian.

Kerja menyunting buat saya lebih peka pada penulisan. Ia buat saya sedar, wartawan seharusnya menghantar artikel sebersih mungkin untuk disunting pengarang.

Kesalahan ejaan dan tatabahasa terlalu remeh. Dulu tak apa, ada prosesan (yang orang media selalu sebut sebagai sub). Kerja mereka seperti pembaca pruf, membetulkan kesalahan ejaan, tatabahasa dan mungkin fakta.

Landskap media hari ini menyukarkan kewujudan jawatan itu. Maka, wartawan perlu jadi pembaca pruf sendiri.

Artikel dengan banyak kesalahan ejaan, tatabahasa dan fakta memaksa penyunting mengambil masa membetulkannya. Dalam keadaan ini, suntingan hanya dapat dibuat pada tahap permukaan.

Ia tidak sampai pada tahap “pengwarasan” atau “pengsenian”, seperti kata A. Samad Said. Tahap ini hanya boleh dilaksanakan selepas artikel tersebut bersih daripada sebarang kesalahan ejaan, tatabahasa (ini termasuk pemerengganan) dan fakta.

Kerja pengwarasan dan pengsenian yang membolehkan satu-satu artikel mencapai tahap “sedap dibaca”. Tumpuan boleh diberikan kepada pertautan idea serta keindahan bahasa.

Pada tahap pengwarasan dan pengsenian, penyunting boleh mengubah struktur ayat, merombak susunan idea serta menggantikan perkataan atau frasa yang lebih koheren dan tepat nuansa.

Ini perlukan masa dan masa itu tak sepatutnya dirompak keperluan membetulkan ejaan, tatabahasa dan fakta.

Mencari cukup yang sebenar cukup

Ini mungkin artikel terakhir yang saya tulis dalam akhbar cetak. Sejak lebih sedekad lalu, orang dah bercakap tentang ajal akhbar cetak yang tak dapat dielak.

Ramai yang menyalahkan zaman. Ada betulnya tapi itu tak boleh dikawal. Yang boleh dikawal ialah kualiti penulisan.

Zaman berubah untuk diadaptasi. Akhbar cetak ada peluang menunda ajal kalau dapat beradaptasi dengan perubahan zaman.

Namun, dalam usaha beradaptasi itu, asas terpenting tak boleh diabai, iaitu kualiti penulis dan penulisan.

Saya suka menilik sejarah. Saya sanjung wartawan terdahulu seperti A. Samad Ismail, Usman Awang, Abdul Rahim Kajai atau Ku Seman.

Penulisan mereka sedap dibaca, berani, berseni dan cukup — nak dapat “cukup” bukan senang, perlu dipandu pengalaman membaca yang sarat.

Bilik berita dahulu penuh dengan wartawan-sasterawan. Nyala rasa mereka marak pada penulisan. Kenapa sekarang tidak begitu?

Saya mahu jadi wartawan-sasterawan, sebab itu banyak perhatian saya dialih kepada penulisan sastera. Nak cuba jadi penyajak atau penulis cerpen.

Tapi tak ramai yang boleh berbual semua hal di atas dengan saya. Mungkin kerja sebagai penulis dan wartawan kini sekadar untuk mengisi perut.

Mungkin ramai yang melihat artikel ini sebagai kenyataan sombong dan meninggi diri tetapi saya dah kerap sangat merendah diri. Menyimpan pandangan untuk menjaga hati.

Dengan sisa sayang saya pada Mingguan Malaysia dan pejabat barat terpecah empat, biarlah ini jadi hadiah perpisahan. Harapan saya, ada wartawan-penulis yang menyala-nyala rasanya kepada penulisan akan lahir di sini, lalu melanjutkan umur syarikat ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×