Restoran ‘bahasa isyarat’ pukau pelancong di Qatif

Restoran ‘bahasa isyarat’ pukau pelancong di Qatif

KAKITANGAN Arina Pizzeria tidak lekang dengan senyuman walau tidak bersuara. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJENGAH bandar Qatif yang sibuk, di mana cita rasa Itali bertemu budaya Arab Saudi, peluang merasai pengalaman menjamu selera dalam suasana sunyi dengan hanya melihat gerakan bahasa isyarat pasti memberi satu kelainan istimewa.

Pengunjung yang singgah di Arina Pizzeria mengakui terpegun ketika menjejakkan kaki di restoran yang dikendalikan sepenuhnya oleh kakitangan pekak yang bukan sahaja mampu menawarkan menu luar biasa tetapi juga naratif kuat tentang daya tahan dan keupayaan komuniti orang kurang upaya (OKU).

Pasangan suami isteri, Hussain Alshbrka dan Arina Gabul yang menamatkan ijazah sarjana dalam pengurusan perniagaan di AS, kembali ke kampung halaman mereka di Qatif untuk meneruskan minat terhadap seni masakan dan kulinari.

SETIAP pelanggan di Arina Pizzeria diberikan kad yang mempamerkan abjad dalam bahasa isyarat.
– AGENSI

Pada September lalu, mereka membuka Arina Pizzeria, menandakan satu kejayaan besar sebagai restoran pertama di Arab Saudi yang dikendalikan sepenuhnya oleh individu pekak.

“Saya terinspirasi untuk mewujudkan tempat di mana komuniti pekak, terutamanya mereka yang datang ke Qatif untuk bekerja, boleh bertemu dan bersosial,” kata Hussein kepada Arab News.

Usahanya lebih mudah kerana berpengalaman sebagai pengurus besar di syarikat Three Dimension Trading Est., di mana beliau kerap berinteraksi dengan individu pekak.
“Saya mahu restoran itu menjadi gabungan kreatif seni bina. Saya mahu restoran ini menjadi lokasi kegemaran untuk berkumpul yang indah di mata dengan gaya seni bina yang moden dan elegan,” katanya.

Apabila masuk, tetamu disambut oleh slogan ‘Secebis kesunyian di dunia yang penuh perisa’.

Di Arina Pizzeria, Hussein menegaskan, komunikasi yang berkesan antara pekerja dan pelanggan amat penting.

“Kami menggunakan pelbagai kaedah komunikasi. Teknologi menyediakan alat yang sangat baik dan berkesan untuk menterjemah ucapan kepada perkataan bertulis.

“Kami juga menggunakan teknologi kod QR yang mudah diakses di atas meja untuk pelanggan mengimbas menggunakan telefon mudah alih mereka, menghasilkan gambaran visual yang merupakan kaedah komunikasi pilihan untuk pekerja pekak kami,” katanya.

Restoran itu bagaimanapun berjaya memecahkan halangan dalam masyarakat, malah mencetus budaya komunikasi baharu.

“Ramai pelanggan ingin mempelajari bahasa isyarat sebagai cara untuk berkomunikasi dengan kami secara langsung, yang sentiasa dialu-alukan dan dihargai.

“Kakitangan menjalani latihan yang ketat.

“Jika mereka belum memiliki kemahiran ini, adalah mudah untuk mempelajari bahasa baharu apabila ia digunakan secara kerap, terutamanya dalam persekitaran kerja dengan respons yang agak boleh diramal,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×