Russia guna peluru berpandu baharu di medan perang

Russia guna peluru berpandu baharu di medan perang

VLADIMIR PUTIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin mengumumkan akan terus menguji peluru berpandu hipersonik baharunya, Oreshnik dalam situasi pertempuran sebenar dan menyatakan negara itu sudah memiliki stok senjata tersebut untuk digunakan jika diperlukan.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Russia buat pertama kali melancarkan peluru berpandu jarak sederhana tersebut ke arah Ukraine sebagai tindak balas terhadap penggunaan peluru berpandu balistik Amerika Syarikat (AS) dan peluru berpandu jelajah Britain oleh Kyiv.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy berkata, Kyiv sedang bekerjasama dengan sekutunya untuk membangunkan sistem pertahanan udara baharu bagi menangani ancaman daripada senjata terkini Russia itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Putin menggambarkan penggunaan pertama Oreshnik sebagai satu ujian yang berjaya dan berikrar ujian lanjut akan terus dilakukan.

“Kami akan terus menjalankan ujian ini, termasuk dalam situasi pertempuran, bergantung kepada keadaan dan ancaman keselamatan yang dihadapi Russia,” katanya dalam ucapan yang disiarkan kepada pegawai pertahanan dan pembangun senjata.

Beliau turut menegaskan peluru berpandu itu tidak dapat dipintas oleh mana-mana sistem pertahanan udara di dunia pada masa ini.

Peluru berpandu Oreshnik, yang mempunyai jarak antara 3,000 hingga 5,500 kilometer, mampu mencapai mana-mana lokasi di Eropah hingga ke barat AS. 

Senjata itu membawa pelbagai kepala peledak yang boleh menyerang beberapa sasaran serentak, ciri yang biasanya dikaitkan dengan peluru berpandu balistik antara benua yang membawa kepala peledak nuklear.

Ukraine mendakwa peluru berpandu itu mencapai kelajuan melebihi 13,000 kilometer sejam dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk sampai ke sasaran selepas dilancarkan.

Tindakan melancarkan Oreshnik berlaku ketika peningkatan mendadak serangan selepas kedua-dua pihak mula menggunakan senjata yang semakin canggih.

Putin memberi amaran, sokongan Barat terhadap Ukraine, termasuk kebenaran untuk menggunakan peluru berpandu jauh ke dalam wilayahnya akan mengheret AS dan sekutunya memasuki konflik langsung dengan Russia. -REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN