SOALAN
Saya seorang isteri bekerja makan gaji. Tahun lepas saya sertai pemasaran berbilang tingkat (MLM) untuk tambah pendapatan. Kini, pendapatan saya lebih tinggi daripada suami dan saya mula rasa tidak perlukan suami. Apakah tindakan ini mementingkan diri sebab saya rasa boleh berjaya tanpa terikat dengan status isteri. Lagipun kami tiada anak sejak berkahwin 10 tahun lepas?
-Isteri berdikari
JAWAPAN
Menjalani kehidupan rumah tangga pasti ada cabarannya. Seiring dengan perkembangan ekonomi dan pendidikan kini telah membuka peluang kepada wanita untuk berjaya dalam bidang kerjaya.
Perihal ini sering menimbulkan konflik dalam rumah tangga. Menjawab persoalan puan, sejauh manakah keperluan puan mempunyai suami selepas mencapai kejayaan?
Tambahan pula, ketiadaan anak setelah 10 tahun berkahwin mungkin turut menyumbang kepada ketidakstabilan rumah tangga.
Oleh itu, adalah penting untuk puan memperhalusi perasaan sendiri serta kesannya terhadap hubungan suami isteri sebelum membuat keputusan.
Refleksi Diri: Luangkan masa untuk muhasabah diri. Tanya diri, apa yang menyebabkan anda merasa tidak memerlukan suami? Adakah kejayaan yang dimiliki mempengaruhi pandangan andaterhadap ikatan perkahwinan?
Pertimbangan: Adakah kejayaan yang diperoleh tanpa bantuan dan sokongan suami? Justeru, penting untuk anda menilai bagaimana kejayaan ini memberi kesan terhadap perhubungan peribadi dan keluarga. Kejayaan profesional seharusnya tidak mengurangkan nilai dengan suami, sebaliknya ia boleh menjadi landasan untuk saling menyokong dan menjaga ikatan perkahwinan.
Berkomunikasi: Latih diri untuk lebih terbuka dalam meluahkan keinginan dan perasaan. Ajak suami untuk berbincang secara jujur. Komunikasi yang terbuka dapat membantu kedua-dua pihak memahami perspektif masing-masing dan memperkukuh hubungan.
Berfikiran Rasional: Ambil keputusan secara rasional. Adakah anda ingin menjadi orang yang berjaya sendirian tanpa terikat dengan status perkahwinan atau meraikan kejayaan bersama pasangan.
Bina Matlamat: Bincangkan matlamat jangka panjang dalam perkahwinan bersama pasangan. Catatkan setiap keinginan dan impian yang ingin dicapai bersama di masa depan. Langkah ini akan membantu mencapai perspektif yang sama dan mewujudkan tujuan bersama
Melakukan Aktiviti Sosial: Sertai aktiviti sosial bersama suami untuk mengukuhkan hubungan dan membina kenangan indah bersama. Contoh aktiviti termasuk konvoi motor, bersukan atau menyertai program khidmat masyarakat.
Bantuan Terdekat: Dapatkan sokongan daripada ahli keluarga, rakan baik atau kaunselor keluarga.










