KUANTAN: Sindiket along didakwa semakin aktif memburu ‘mangsa’ dengan menyasarkan golongan peniaga khususnya penjaja dengan menawarkan jumlah pinjaman antara RM1,000 hingga RM100,000 dengan kadar faedah 30 peratus untuk tempoh 10 hari.
Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) mendakwa, hasil maklumat diperoleh, hampir 70 peratus peminjam terdiri daripada peniaga kecil pasar malam, pemilik kedai runcit dan bengkel kenderaan, kontraktor kecil, nelayan serta petani ‘terpaksa’ meminjam daripada along demi survival perniagaan mereka.
Malah, yayasan itu mendakwa, semakin ramai pekerja swasta dan kakitangan kerajaan juga membuat pinjaman daripada pemberi pinjaman wang tidak berlesen bagi menampung kehidupan ekoran kenaikan mendadak kos sara hidup ketika ini.
Berita berkaitan:
Presiden YPNM, Datuk Dr. Mohd. Firdaus Abdullah berkata, menerusi aduan diterima, pihaknya melakukan pemantauan dan mendapati kegiatan along ataupun ceti haram ini begitu aktif di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Beliau mendakwa, kebanyakan sindiket berkenaan ketika ini berselindung dengan syarikat pemberi pinjaman berlesen di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mengiklankan perniagaan mereka secara dalam talian termasuk media sosial seperti Facebook.
“Apabila mana-mana pihak memerlukan pinjaman menghubungi nombor telefon diberikan, dalam beberapa jam, ramai along akan menawarkan pinjaman kepada mereka.
“Mengikut kadar faedah ditetapkan kerajaan, pemberi pinjaman wang berlesen adalah sebanyak 12 peratus untuk pinjaman bercagar dan 18 peratus untuk pinjaman tidak bercagar mengikut Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen. Tapi along mengenakan faedah tinggi 30 peratus untuk tempoh 10 hari.
“Contohnya, pinjam RM1,000, cuma diberi RM700 dan dalam tempoh 10 hari perlu bayar RM1,000 atau secara ansuran RM100 sehari selama 10 hari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Firdaus memberitahu, selain faktor kenaikan kos sara hidup, kesukaran mendapatkan pinjaman daripada pihak berwajib menyebabkan peniaga kecil, kedai makan, warung, restoran, peniaga pasar malam mengambil langkah mudah meminjam ceti haram.
Menurutnya, jika meminjam dengan sindiket along, semua proses secara dalam talian, begitu mudah dan boleh dapat duit tidak lebih sejam.
“Disebabkan membayar faedah yang tinggi sehingga 30 peratus dalam masa 10 hari, peniaga terpaksa menaikan harga barangan dijual mereka bagi menampung kos membayar hutang ceti haram.
“Ini sekali gus antara punca barangan keperluan asas, barangan mentah dan barangan siap dimasak dijual dengan harga tinggi oleh golongan peniaga sekali gus yang menjadi mangsa adalah pengguna,” dakwanya.
Sehubungan itu, beliau meminta KPKT segera menyiasat syarikat pemberi pinjaman wang berlesen yang banyak berselindung di sebalik lesen diterima dan menawarkan pinjaman dengan kadar faedah tinggi 30 peratus dalam tempoh 10 hari.
“Sindekit ceti haram ini juga dipercayai dilindungi oleh pihak-pihak tertentu yang mana mereka boleh berniaga secara bebas dengan tidak diambil tindakan,” dakwanya. – UTUSAN











