GEORGE TOWN: Tiga warga tempatan yang terlibat dalam penyeludupan senjata api, pecah rumah dan curi kenderaan mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Changkat-Pulau Burung, Nibong Tebal dekat sini, semalam.
Dengan tertumpasnya penjenayah itu yang berusia antara 30 hingga 42 tahun, polis percaya berjaya menyelesaikan 33 kes curi kenderaan dan kes samun di Pulau Pinang yang melibatkan kerugian RM4 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kira-kira pukul 5.30 pagi, anggota polis yang sedang bertugas dalam operasi cegah jenayah terserempak dengan dua buah kereta iaitu Honda Accord dan Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan polis menghampiri kenderaan itu dan memperkenalkan diri bagaimanapun suspek secara tiba-tiba bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis.
“Bagi mempertahankan diri, pasukan polis kemudiannya telah melepaskan beberapa das tembakan. Susulan kejadian itu, kesemua suspek mati di tempat kejadian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini semalam.
Menurut Hamzah, ketika kejadian, kesemua suspek dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan samun di lokasi yang telah mereka kenal pasti.
“Kesemua mereka tidak mempunyai pekerjaan dan hasil pemeriksaan mendapati, suspek pertama berusia 42 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ketua kumpulan mempunyai 35 kesalahan lampau jenayah dan lapan kesalahan narkotik.
“Suspek kedua pula mempunyai enam rekod lampau kesalahan narkotik manakala suspek ketiga tidak mempunyai sebarang pengenalan diri. Mereka dipercayai aktif dalam kegiatan samun pecah rumah dan curi kenderaan sejak awal tahun,” katanya.
Tambah Hamzah, modus operandi kumpulan itu ialah menyamun rumah mewah dan mencuri kenderaan pacuan empat roda serta kereta mewah sebelum menjualnya ke negara jiran.
Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian menemukan pelbagai barangan dipercayai berkaitan kegiatan jenayah antaranya sepucuk pistol semi auto, sepucuk revolver, sebuah kotak mengandungi 50 peluru, tiga kelongsong peluru,” katanya. – UTUSAN










