Perlu lagi pekerja asing di Malaysia?

Perlu lagi pekerja asing di Malaysia?

Kemudahan permohonan kuota pekerja asing diberi mengikut kes. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETAHUN yang lalu, kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing dengan alasan kuota yang diluluskan di bawah program rekaliberasi mampu menampung keperluan tenaga pekerja yang ada.

Pada masa yang sama, kelulusan yang diberikan kepada majikan ditarik balik, menyebabkan mereka terbelenggu dengan masalah kekurangan pekerja.

Terkini, kerajaan bersetuju agar permohonan kuota pekerja asing dibuka secara kes demi kes berdasarkan keperluan mendesak dan munasabah mengikut ketetapan yang ditentukan agensi kawal selia (AKS) sektor berkaitan.

Malangnya, sektor pembersihan tidak termasuk di antara sektor yang dibenarkan mengambil pekerja asing secara kes demi kes. Bukankah perkhidmatan pembersihan termasuk dalam perkhidmatan wajib seperti perkhidmatan kesihatan dan keselamatan dan pada masa yang sama tergolong dalam kategori 4D (kotor, sukar, bahaya dan merendahkan)?

Bayangkan bangunan kementerian tidak dibersihkan untuk sehari? Sampah sarap bertaburan dan andas berbau hancing serta busuk, sanggupkah mereka bekerja dalam keadaan sedemikian?

Kebersihan bukan sahaja menentukan imej negara sebagai sebuah negara membangun, ia juga merupakan pendorong pertumbuhan lain-lain sektor ekonomi negara.

Sektor pelancongan misalnya, mengutamakan kebersihan untuk menarik pelancong-pelancong asing.

Mereka sering kali menegur tahap kebersihan yang tidak memuaskan, khususnya tandas-tandas awam.

Pelaburan asing juga bergantung kepada kemampuan memelihara kebersihan kilang-kilang yang didirikan. Kebersihan kilang bukan sahaja menjamin kelancaran pengeluaran tetapi juga menjamin ketahanan kilang yang dibangunkan.

Pada masa sama, sektor pembersihan dibelenggu status 4D.

Ia merupakan pilihan terakhir pekerja tempatan, termasuk yang tidak mempunyai kelulusan atau sijil. Di manakah kontraktor hendak mendapatkan pekerja, jika bukan pekerja asing?

Kontraktor sanggup membayar kos pengambilan pekerja asing melebihi RM2,500 seorang semata-mata untuk memastikan bangunan yang dijaga bersih, selamat dan selesa. Untuk kontrak yang bernilai RM25,000 sebulan, kontraktor memerlukan lebih kurang 10 orang pekerja.

Bermakna kontraktor terpaksa mengeluarkan modal awal RM25,000 untuk pengambilan pekerja asing, tidak termasuk kos menyediakan penginapan dan keperluan asas penginapan. Itu belum lagi, kos pembelian mesin, peralatan dan perkakas mencuci serta modal pusingan untuk tiga bulan pertama kontrak.

Pada masa sama, keperluan tenaga pekerja sentiasa meningkat selaras dengan pembangunan negara. Setiap bangunan atau kawasan yang dibangunkan memerlukan pekerja, khususnya pekerja pencuci untuk membersihkannya.

Kelulusan kuota pekerja asing seharusnya selari dengan keperluan tenaga pekerja yang sentiasa meningkat seiring dengan pembangunan negara.

Pada November 2023, pengambilan pekerja asing bagi sektor pembersihan dibekukan atas alasan lebih separuh daripada pekerja asing yang terabai adalah dari sektor pembersihan.

Persoalannya, siapa yang meluluskan kuota pekerja asing tersebut sedangkan setiap permohonan perlu disertakan dengan kontrak semasa?

Tindakan kementerian menyisihkan sektor pembersihan dari permohonan kuota pekerja asing seolah-olah memanjangkan hukuman yang dikenakan kepada kontraktor atas kegagalan mereka sendiri memantau kelulusan kuota yang dikeluarkan. Jangan kerana nyamuk, kelambu dibakar.-UTUSAN

NORUDDIN IDRIS
Presiden Persatuan Pengurusan Pembersihan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×