PETALING JAYA: Polis sudah mengambil keterangan daripada suspek dan 14 orang lagi berkaitan kes buli terbaharu yang didedahkan membabitkan seorang penuntut tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa dipijak senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, suspek kes tersebut diambil keterangannya semalam bagi melengkap siasatan.
“Kita mengambil keterangan suspek yang juga penuntut senior di Ibu pejabat Polis Daerah Cheras,” katanya ketika dihubungi.
Kelmarin, polis mengesahkan seorang penuntut tahun satu universiti berkenaan cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.
Rusdi dilaporkan berkata, pihaknya menerima satu laporan pada kira-kira pukul 8.40 malam pada 8 November lalu.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, mangsa yang berusia 19 tahun itu dikatakan berada di tepi padang kawad institusi pengajian itu sebelum dia dipanggil dan dipijak oleh penuntut tahun tiga.
“Akibatnya mangsa mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang,” katanya.
Tambah Rusdi, mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur berhubung kecederaan yang dialami.
Kes itu katanya disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. – UTUSAN









