KETIKA orang ramai memilih untuk melancong atau pulang ke kampung, saya dan keluarga memutuskan untuk menikmati waktu santai di bandar.
Tanggungjawab kerja dan sekolah yang masih perlu diselesaikan membuatkan kami mencari destinasi berdekatan yang tetap menawarkan suasana tenang.
Destinasi pilihan kami ialah Eco Community Park di Bukit Jelutong, sebuah taman riadah yang dihiasi kehijauan alam, udara segar dan peluang untuk berinteraksi dengan haiwan dalam jarak dekat.
Taman ini terkenal dengan suasana yang damai, menjadikannya tempat ideal untuk menghabiskan waktu berkualiti bersama keluarga. Ketika melangkah masuk ke taman, kami disambut oleh pemandangan indah yang mengundang rasa tenang.
Masuk percuma
Salah satu keistimewaan tempat ini ialah kemasukan secara percuma. Disebabkan itu, lokasi tersebut sangat sesuai untuk keluarga beriadah tanpa perlu memikirkan kos tambahan.
Pengunjung boleh menikmati semua kemudahan yang ada tanpa sebarang bayaran, menjadikan taman ini pilihan yang bijak bagi mereka yang ingin bersantai tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi.
Saya tiba pada pagi hari bekerja dan suasana di taman sangat tenang. Kebetulan pula pada waktu kami di sana, pengunjung tidak ramai.
Suasana sunyi ini memberi kami peluang untuk menikmati keindahan taman tanpa gangguan.
Momen-momen seperti ini sangat berharga, terutamanya apabila kita dapat merasai kedamaian alam yang jauh dari kesibukan kota.
Antara tarikan utama di sini ialah angsa dan kambing yang jinak. Angsa-angsa ini bergerak bebas di sekitar taman, mendekati pengunjung tanpa rasa takut.
Kanak-kanak khususnya kelihatan sangat teruja melihat angsa dari jarak dekat dan berpeluang untuk menyentuhnya dengan lembut.

Ini adalah pengalaman unik bagi kanak-kanak yang jarang melihat angsa berkeliaran di bandar.
Melihat wajah-wajah ceria mereka adalah satu pemandangan yang menggembirakan.
Tambahan pula, tidak semua tempat tarikan haiwan membenarkan pengunjung menyentuh haiwan atas faktor keselamatan. Eco Community Park memberikan peluang ini, menjadikannya tempat yang istimewa bagi mereka yang ingin berinteraksi dengan haiwan secara lebih dekat.
Selain angsa, terdapat kandang kambing yang menghimpun segerombolan kambing yang mesra dengan pengunjung. Namun, kami tiba pada waktu pagi dan kandang kambing hanya dibuka kepada pengunjung pada pukul 12 tengah hari.
Jika ingin merasai pengalaman berinteraksi secara dekat dengan kambing-kambing, anda disarankan untuk datang pada waktu tengah hari atau hujung minggu ketika semua kawasan dan kemudahan dibuka sepenuhnya.
Menariknya, taman ini juga menyediakan kemudahan membeli makanan haiwan yang ditawarkan pada harga serendah RM5.
Oleh itu, para pengunjung boleh memberi makan kepada angsa dan kambing. Pastinya ia satu aktiviti yang menyeronokkan, terutama bagi kanak-kanak.
Selain aktiviti bersama haiwan, taman ini juga menyediakan laluan pejalan kaki untuk pengunjung yang ingin menikmati pemandangan hijau sambil bersantai atau berjoging.
Tidak jauh dari laluan pejalan kaki, kami juga menemui pondok atau kawasan rehat yang selesa. Tempat-tempat ini sangat sesuai untuk pengunjung yang ingin berjoging atau sekadar bersiar-siar.
Jika anda mencari destinasi santai yang sesuai untuk seluruh keluarga, datanglah ke taman ini sekiranya anda tinggal berdekatan.
Dengan suasana yang tenang dan peluang untuk berinteraksi dengan haiwan, Eco Community Park menawarkan pengalaman yang menyeronokkan tanpa kos tinggi. Taman ini benar-benar membuktikan bahawa keseronokan juga boleh ‘dibeli’ secara percuma!










