FGV eksport minyak isirung sawit mentah ke Eropah akhir tahun ini

FGV sasar eksport minyak isirung sawit mentah ke Eropah akhir tahun ini

NURUL Hasanah Ahamed Hassain Malim (kanan) pada sidang media di Felda Residence Hotsprings, Sungkai, kelmarin. -UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH:  FGV Holdings Bhd. (FGV) memanfaatkan asas pelanggan sedia ada untuk mengeksport minyak isirung sawit mentah (CPKO) ke Eropah melalui produk akhir pelanggan menjelang akhir 2024.

Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan, Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim berkata, ini merupakan kali pertama FGV mencuba memasarkan produk CPKO secara tidak langsung melalui pelanggan ke pasaran tersebut.

“FGV telah bekerjasama rapat dengan pelanggan bagi memastikan semua dokumentasi yang diperlukan adalah selaras dengan peraturan yang ditetapkan oleh Peraturan Deforestasi Kesatuan Eropah (EUDR), sebagai sebahagian daripada usaha untuk menembusi pasaran Eropah.

“Pembeli FGV juga merancang untuk mengeksport produk akhir yang mengandungi CPKO yang dibeli daripada FGV ke Eropah sama ada pada bulan November atau Disember.

“CPKO yang dibeli oleh pembeli kami akan diproses dan diubah menjadi produk lain sebelum dieksport ke Eropah. Oleh itu, ia tidak dieksport secara langsung oleh FGV,” katanya pada sidang media sempena Program Pengenalan Media: Perjalanan Melalui Kelestarian Bersama FGV dekat sini, kelmarin.

Jelas beliau, rancangan itu turut melibatkan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa EU untuk memastikan proses dan dokumentasi antara FGV dan pembelinya memenuhi piawaian EUDR.

“Walaupun EU belum menguatkuasakan peraturan tersebut, FGV telah melantik pihak ketiga bebas untuk membuat verifikasi berdasarkan keperluan yang mematuhi standard EUDR ini.

“Dari segi dokumentasi pula FGV dan pembeli bekerjasama rapat bagi memastikan semua dokumentasi sejajar dengan larangan EUDR. Ini juga melibatkan majlis perundangan bagi memastikan pemahaman yang tepat mengenai peraturan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Nurul Hasanah menyatakan bahawa tiada ujian yang telah dilakukan untuk memastikan dokumentasi memenuhi syarat penerimaan Kesatuan Eropah kerana EUDR belum dikuatkuasakan.

“Pada Ogos tahun ini, FGV telah mengumumkan bahawa syarikat itu berjaya menghasilkan CPKO pertama yang memenuhi piawaian EUDR,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, FGV berharap agar larangan import yang dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat terhadap FGV dapat ditarik balik dalam masa terdekat.

“Dengan perubahan dalam kepimpinan Amerika Syarikat (AS), kami berharap pihak CBP bersikap neutral dalam membuat keputusan.

“Petisyen kami telah dihantar pada Jun 2024, dan sejak itu, kami telah menjalankan perbincangan berterusan dengan CBP bagi menjawab soalan-soalan mereka.

“Jika ditanya mengenai jangka masa, saya tidak dapat memberikannya kerana CBP masih mengajukan soalan tambahan dan kami masih memberikan maklumat tambahan sehingga hari ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa CBP telah mengeluarkan Perintah Penahanan Pelepasan (WRO) terhadap FGV pada 30 September 2020 berdasarkan maklumat yang menunjukkan kemungkinan penggunaan buruh paksa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×