PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) melalui Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) bekerjasama dengan Earth Science Analytics (ESA) dan Amazon Web Services (AWS) untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML).
Ini bertujuan mempercepatkan usaha eksplorasi di Lembangan Melayu dan meningkatkan keupayaan data platform Petronas myPROdata.
Petronas dalam kenyataan berkata, platform berasaskan web ini memberikan akses kepada langganan untuk data eksplorasi dan pengeluaran (E&P) di Malaysia.
“Kerjasama antara MPM dan ESA akan menumpukan kepada pembangunan aliran kerja yang dipacu oleh AI, menggunakan platform EarthNET milik ESA bersama dengan myPROdata Petronas untuk mengoptimumkan analisis dan tafsiran data.
“Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan eksplorasi hidrokarbon di Lembangan Melayu yang matang, terletak di luar pantai Semenanjung Malaysia,” katanya.
Sementara itu, kerjasama dengan AWS bertujuan untuk memperkasa lagi platform myPROdata dengan alat AI dan analitik data.
“Dengan integrasi keupayaan canggih ini, Petronas bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pengguna, memperkemas proses pengurusan data dan memberikan wawasan yang lebih baik berasaskan data kepada pelabur berpotensi dalam sektor E&P Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong menekankan kepentingan kerjasama ini sangat penting dalam memperkukuhkan komitmen Petronas terhadap inovasi ketika MPM bersiap sedia untuk Malaysia Bid Round (MBR) 2025.
“Dengan memanfaatkan keupayaan AI dan ML, kami berhasrat untuk memberi kuasa kepada pelabur dan Kontraktor Perjanjian Petroleum (PAC) kami dengan wawasan data yang lebih banyak dan proses yang lebih teratur.
“Ini bagi mendorong pembuatan keputusan yang lebih bijak dan memastikan pusingan bidaan yang lebih efisien dan memberi impak kepada semua peserta,” katanya.
MBR adalah pusingan pelesenan tahunan yang menawarkan pelbagai peluang huluan, termasuk kawasan eksplorasi, Peluang Sumber Ditemui dan aset pengeluaran fasa akhir di seluruh Malaysia.
MBR 2025 yang akan datang di jadual berlangsung pada awal 2025 di Kuala Lumpur.
Petronas tetap komited untuk memastikan bekalan minyak dan gas yang optimum dan mampan untuk keselamatan tenaga negara, sambil meneruskan usaha ke arah mencapai operasi rendah karbon dan rendah emisi, selaras dengan matlamat syarikat untuk mencapai sifar emisi menjelang 2050.-UTUSAN










