MKH Oil Palm laksana program pembelian balik saham

MKH Oil Palm laksana program pembelian balik saham

ALEX CHEN KOOI CHIEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MKH Oil Palm (East Kalimantan) Berhad (MKHOP), syarikat perladangan minyak sawit yang berpusat di Kalimantan Timur, Indonesia telah memulakan program pembelian balik saham sejak 25 September 2024 dan telah membeli balik sebanyak 6.17 juta saham setakat 22 Oktober lalu. 

Anak syarikat MKH Berhad itu berkata, di bawah program pembelian balik saham yang diberi mandat oleh pemegang saham semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa pada 10 September 2024, syarikat diberi kuasa untuk membeli balik sehingga lima peratus daripada jumlah modal saham terbitannya, iaitu 51.18 juta saham.

“Sekiranya pembelian balik saham ini dilaksanakan sepenuhnya, pegangan saham awam MKHOP akan berkurang kepada 25.03 peratus daripada 28.78 peratus. 

“Pembelian balik saham dijangka menstabilkan harga saham MKHOP dan membolehkan syarikat menggunakan lebihan sumber kewangannya dengan lebih cekap dan menghasilkan struktur modal yang lebih berkesan.

“MKHOP berkomited untuk membayar dividen sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keuntungan selepas cukai disatukan tahunan yang diaudit yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat dengan mengambil kira keperluan modal kerja kumpulan,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusinya, Tan Sri Datuk Alex Chen Kooi Chiew @ Cheng Ngi Chong berkata, tahun kewangan berakhir 30 September 2024 dilihat mempunyai peluang yang cerah. 

“Kami berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan dalam pasaran minyak boleh dimakan global dan industri kelapa sawit di Indonesia.

“Kami menjaga pemegang saham kami dua kali ganda. Dari segi perniagaan, kami akan terus aktif mencari tanah perladangan kelapa sawit baharu untuk pertumbuhan hasil dan tanah simpanan kami,” katanya 

Tambahnya, dari segi pasaran modal, pembelian balik saham dan dividen MKHOP akan bertindak sebagai penstabil semula jadi selain menunjukkan keyakinan terhadap prospek syarikat.

“Kami yakin bahawa cara kami menjalankan perniagaan secara bersepadu dan berhemat akan memastikan pertumbuhan syarikat yang mampan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×