PETALING JAYA: realme Malaysia mahu mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran terutama telefon pintar tempatan.
Menurut Pengarah Jenamanya, Huang Hao, meskipun baru kira-kira tiga tahun bertapak di negara ini, jenama realme terus merekodkan pertumbuhan yang baik khususnya dalam pasaran telefon pintar.
Selain telefon pintar, realme katanya, turut mahu mengukuhkan kehadiran jenama itu dalam produk-produk lain seperti televisyen pintar.
“Tahun lalu, realme berada dalam kelompok lima teratas, dan tahun ini kami menyasarkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan kami dengan menyasarkan golongan muda,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman dengan SEGi Group of College (SEGi) di sini, semalam.
Pada majlis itu, Hao mewakili realme Malaysia sementara SEGI diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stella Lau.
MoU itu disaksikan oleh Pengurus Kanan Perkhidmatan Pelajar dan Korporat SEGi, Edward Low dan Pengurus Komuniti realme Malaysia, Nor Farhana Mustapha.
Kerjasama dua hala itu bertujuan melahirkan graduan yang dididik ke arah revolusi industri dalam memenuhi permintaan profesion masa kini.
Menurut laporan, realme merekodkan pertumbuhan sebanyak 45 peratus tahun ke tahun setakat suku ketiga tahun lalu, menjadikannya jenama paling pantas berkembang di rantau ini. Dalam tempoh tersebut, hampir 15 juta telefon jenama berkenaan telah dipasarkan.
Mengenai kerjasama sama tersebut, Hao berkata, ia memberi peluang kepada realme menerima tenaga dan idea-idea baharu daripada pelajar SEGi yang akan didedahkan dalam dunia perniagaan sebenar.
“Kerjasama ini adalah permulaan dan kami bersedia untuk mengadakan kerjasama serupa dengan institusi pendidikan tinggi lain pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Stella berkata, kerjasama membolehkan SEGi membawa pengalaman industri ke dalam kukirukulum pendidikannya.
“Kami bercita-cita tinggi untuk menyediakan para pelajar dengan pembelajaran berasaskan projek industri sebenar agar mereka lebih bersedia untuk melangkah masuk ke dunia pekerjaan,” katanya. – UTUSAN










