PETALING JAYA: Pelakon, Idzham Ismail, menegaskan sudah menutup pintu hati untuk kembali rujuk bersama bekas isteri, Nur Abilah.
Idzham atau Muhammed Idzham Ismail, 36, enggan mendedahkan punca sebenar keretakan rumah tangga namun memberi bayangan ia disebabkan bekas isterinya ‘khayal dengan duniawi’.
“Ya sudah selesai semuanya pada Isnin, saya tidak mahu rujuk. Saya sudah tawar hati dan dia pun mungkin tawar hati juga, jadi nak rujuk pun buat apa?
“Apa yang berlaku, saya tak boleh kongsi sebab aib dia dan juga aib saya sebagai suami sebab tidak boleh didik dia dengan baik.
“Benda kecil sahaja sebenarnya, yang mana dia terkhayal dengan duniawi. Jadi saya tidak mahu salahkan dia sebab saya juga salah tak boleh didik dia dengan baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, pelakon Juvana itu menafikan dakwaan wujud orang ketiga dalam perkahwinan mereka.
“Tiada orang ketiga, dalam pengetahuan saya tiada. Kalau ada pun hanya Allah yang tahu,” katanya.
Bagaimanapun, Idzham mengakui sudah melakukan usaha sedaya upaya mempertahankan rumah tangga sebelum akhirnya memutuskan untuk bercerai. – UTUSAN










