SEPANG: Francesco Bagnaia meningkatkan tekanan ke atas pendahulu Kejuaraan Motosikal Dunia, Jorge Martin selepas penyandang gelaran dunia itu menempah petak pertama dalam sesi kelayakan MotoGP pada Grand Prix (GP) Malaysia Petronas di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.
Pelumba Ducati Lenovo Team itu turut memecah rekod sepusingan terpantas miliknya dengan catatan baharu di SIC 1 minit 56.337 saat (s).
Catatan tersebut membolehkan Bagnaia memintas Martin yang sebelum itu melakar masa terpantas 1:56.553s pada sesi kelayakan tersebut.
Keputusan itu juga menyaksikan Martin dari pasukan Prima Pramac Racing memulakan aksinya dalam perlumbaan sebena di petak kedua hari ini.
Rekod lama Bagnaia 1:57.491s dicipta pelumba kelahiran Itali itu pada pusingan terakhir sesi kelayakan tahun lepas.
Bagnaia ketika ditemu bual selepas sesi kelayakan berkata, saingan tersebut berlangsung dengan cukup sengit disebabkan Martin yang turut mencipta masa sepusingan terpantas.
“Amat penting untuk saya mencipta lakaran masa ini kerana ia membantu dari segi kelebihan psikologi.
“Saya tahu persaingan ini sangat sukar kerana anda perlu mengerah tenaga anda semaksimum mungkin dan lawan anda pula cukup laju, jadi, amat penting untuk saya kekal konsisten,” katanya.
Sementara itu, Martin pula memberitahu, dia menyangka catatan masa yang dilakukannya itu sudah memadai untuk mengekalkan kedudukannya di tangga teratas tetapi Bagnaia beraksi dengan cukup mengagumkan.
Dalam pada itu, petak ketiga menjadi milik Alex Marquez (1:57.275s), Franco Morbidelli (1:57.279s) di kedudukan keempat dan Marc Marquez (1:57.301s) di tempat kelima. – UTUSAN










