Penghidap osteoporosis atau tulang rapuh dijangka bakal meningkat di masa akan datang berikutan gaya hidup kurang bersenam serta peningkatan kadar obesiti dalam kalangan remaja di Malaysia pada masa ini.
Ini kerana kunci kepada masalah kerapuhan tulang sebenarnya bukan bermula pada usia 40 an atau 50 an saja, sebaliknya bermula pada usia remaja jika tulang tidak dijaga dengan baik pada usia muda.
Ketua Penyelidik Kajian Kesihatan Tulang dan Osteoporosis (MALBONES) dan Pensyarah Perubatan Farmakologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya. Isa Naina Mohamed berkata, usia remaja adalah tempoh paling penting dalam proses pembentukan tulang yang sihat dan kuat.

“Memastikan tulang kuat ketika usia remaja, boleh mengurangkan risiko osteoporosis apabila usia tua. Usia remaja adalah peluang terakhir meningkatkan ketumpatan tulang optimum. Sekiranya tulang berada pada tahap maksimum pada usia remaja, apabila usia 60 hingga 70 tahun, kita tidak perlu risau kerana risiko mendapat osteoporosis adalah lebih rendah
“Kekuatan tulang akan naik dengan mendadak pada usia 10 tahun sehingga kemuncaknya pada usia 30 tahun. Setiap orang tanpa pengecualian, selepas usia 30 tahun, ketumpatan tulang akan menurun kira-kira satu hingga dua peratus setahun,” katanya pada sesi webinar Kesihatan Tulang dan Sendi 2024, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), baru-baru ini.
Tambah beliau, pada usia 30 tahun, kehilangan satu hingga dua peratus jisim tulang ini tidak boleh dihentikan walaupun seseorang itu sangat aktif secara fizikal seperti bersenam. Aktiviti fizikal seperti bersenam boleh mengurangkan daripada dua peratus kepada satu peratus kehilangan tulang tetapi masih berlaku penurunan ketumpatan tulang.
Kajian MALBONES adalah kajian mengenai tulang remaja yang terbesar dijalankan selama empat tahun menerusi sekolah di seluruh Malaysia yang membabitkan , 000 remaja berusia 10 hingga 17 tahun. Ia bertujuan mengumpul maklumat mengenai aktiviti pemakanan, nutrisi dan aktiviti fizikal mereka.
Katanya, hasil kajian itu mendapati pelajar lelaki mempunyai tahap aktiviti fizikal lebih tinggi yang mempengaruhi ketumpatan tulang yang lebih baik dan kuat berbanding pelajar perempuan.
Sebaliknya, hasil kajian itu juga mendapati, tulang pelajar Orang Asli lelaki dan perempuan adalah sama kuat kerana remaja wanita juga aktif secara fizikal.
“Aktiviti fizikal antara faktor kekuatan tulang yang bermaksud semua pergerakan tubuh badan yang menggunakan tenaga. Ini termasuk duduk, sambil membuat kerja yang menggunakan tenaga.
“Duduk memberikan kesan yang kurang berbanding berjalan, berlari dan melompat. Ia perlu dijalankan dalam jangka masa tertentu, berulang kali untuk meningkatkan kecergasan dan paling penting, meningkatkan kesihatan tulang,” katanya.
Tambahnya, senaman membentuk tulang yang kuat, sangat penting dalam usia remaja, kerana simpanan tulang berlaku pada masa ini. Konsep senaman FIT dengan kekerapan tiga hingga lima kali seminggu dengan intensiti tinggi iaitu tahap senaman yang sehingga mengeluarkan peluh dan bernafas kuat sangat baik untuk tulang.
“Setiap orang boleh bersenam mengikut keperluan. Sekiranya obes, tidak perlu pun berlari jika tidak larat. Berlari mungkin dalam 10 meter sudah berhenti, lebih baik berjalan.
“Lakukan aktiviti dalam 30 minit, berpeluh dan nafas meningkat sedikit. Kalau tubuh kurus, berjalan 10 minit tidak berpeluh, maknanya tidak cukup lagi dan kena berlari sedikit. Berapa lama tempoh bersenam bergantung kepada keperluan masing-masing tetapi sekurang-kurangnya 20 minit. Tidak termasuk waktu memanaskan badan atau regangan,” katanya.
Fungsi tulang dan osteoporosis Pakar Perunding Geriatrik HCTM,HUKM, Dr. Hazlina Mahadzir berkata, terdapat 206 tulang dalam badan manusia daripada yang sebesar-besarnya sehingga yang paling kecil, di tangan dan kaki.

“Fungsi tulang adalah untuk menyokong otot dan otot melekat bagi membolehkan kita untuk bergerak seperti berjalan dan berlari. Selain itu, tulang juga menyimpan kalsium dan lemak. Ia juga berfungsi mengeluarkan sel-sel darah daripada sum-sum tulang untuk melindungi organ-organ dalaman kita seperti paru-paru dan jantung.
“Apabila pembentukan tulang tidak berlaku pada kadar yang sepatutnya, ia boleh menyebabkan tulang menjadi lebih rapuh dan mudah patah atau dikenali sebagai osteoporosis atau tulang yang menyusut dan berongga, lebih besar sehingga sel-sel dalam tulang sudah tidak banyak. Ini menyebabkan ketumpatan atau jisim tulang lebih rendah dan tidak sepadat tulang orang muda,” katanya.
Osteoporosis adalah penyakit senyap kerana ia tidak menunjukkan gejala. Kita hanya tahu menghidap osteoporosis apabila tulang kita patah. Ia juga menimbulkan banyak masalah kepada kehidupan penghidapnya.
Dianggarkan kira-kira 30 hingga 40 peratus warga emas berusia 65 tahun, jatuh setiap tahun. Lebih 8 juta kes patah tulang berlaku di seluruh dunia dengan satu kes patah berlaku setiap tiga saat.
Kekerapan kes patah membabitkan 1/3 adalah perempuan dan 1/5 adalah lelaki. Patah sering berlaku di pergelangan tangan, tulang belakang, terutama di bahagian bawah pinggul.
Selain kurang aktif, terdapat banyak faktor risiko osteoporosis.
Antaranya, umur meningkat, menopaus, hipertiroidim, sindrom cushing dan hiperparatiroid iaitu BMI rendah atau kurus lebih cenderung untuk mendapat osteoporosis. –UTUSAN










