Bukan mudah sebenarnya menghasilkan sebuah filem bermutu terutama karya adaptasi . Ada banyak kekangan yang perlu diatasi oleh penerbit dan pengarah. Masalah mereka juga banyak termasuklah antaranya kewangan, mencari pelakon berkualiti dan menggarap cerita yang memberi impak dalam kalangan peminat filem.
Masalah besar akan lebih dihadapi oleh bukan sahaja penerbit tetapi juga pengarah apabila menyelesaikan tanggungjawab menghasilkan filem yang diadaptasi daripada naskhah tertentu seperti novel, kisah benar, cerpen, puisi dan mungkin pantun.

Bagi penggemar novel, mereka tidak dapat mengelak daripada membandingkan antaar cerita dalam karya tersebut dengan filem yang berjaya diangkat ke layar perak, justeru kerana mereka membayangkan apa yang berlaku dalam novel akan diceritakan dalam filem.
Bagi pengarah filem tersohor Datuk Zulkeflie M. Osman, kerja-kerja mengadaptasi novel popular mempunyai cabarannya tersendiri. Beliau berkata, dalam sebuah program sebuah portal berita baru-baru ini bahawa menjadi satu masalah kepada penulis skrip dan pengarah memaparkan apa yang dinukilkan dalam novel ke layar perak kerana ia bersifat imaginasi atau naratif.
Beliau memberi contoh bagaimana menonjolkan satu naratif bunga-bunga berkembang dalam novel ke layar perak kerana satu penyataan bersifat imaginatif .
Itu merupakan gambaran yang subjektif dan menjadi cabaran untuk diangkat ke layar perak.
Cabaran lebih besar jika syarikat penerbit filem cuba mengangkat kisah daripada novel atau berinspirasikan kisah benar. Bayangkan bagaimana menghasilkan sebuah kisah epik kerana set penggambaran mestilah bersesuaian dengan latar cerita pada zaman berkenaan.
Zulkeflie mengakui masalah itu dan tidak hairan kemungkinan ramai pengarah bersetuju dengannya.
Cuba bayangkan bagaimana Eros Djarot pengarah filem Indonesia mengangkat naskhah Cut Nyak Dhien, pejuang wanita Acheh (1850–1908).
Filem itu menjadikan aktres Christine Hakim sebagai pemegang watak berkenaan pejuang. Begitu juga filem biografi Habibie dan Ainun yang mengisahkan bekas Presiden Indonesia, Bacharudin Jusuf Habibie itu, filem berinspirasikan kisah benar dan tentunya mencetuskan perbandingan antara realiti hidup Habibie dan apa yang diangkat ke layar perak.
Baru-baru ini, satu tayangan perdana filem Mereka yang Tertewas , sebuah novel adaptasi judul yang sama karya Hasanuddin Isa.
Filem tersebut diarahkan oleh Zulkeflie, yang sebelum ini mengarah filem Mira Edora , novel karya Khadijah Hashim. Novel dan filem tersebut meletup di pasaran.
Bagi Zulkeflie, apabila mengangkat novel Mereka Yang Tertewas ke filem ada kelebihan dan cabaran tersendiri.
Kata beliau, usaha tersebut ada mudah dan ada kerumitannya. Mudah kerana bahan asasnya sudah ada.
Sebagai contoh sudah ada plot, karakter dan tema yang jelas, maka jadi pengarah tidak perlu mencipta naratif baharu daripada awal.
Menurut beliau, novel yang popular sudah ada pengikut yang besar, maka filem tersebut sudah mendapat sambutan awal daripada peminat novel melalui publisiti media sosial.
“Yang sukarnya adalah harapan peminat novel dengan jangkaan tinggi tentang bagaimana cerita dan watak-wataknya harus ditonjolkan. Sekiranya filem tidak memenuhi jangkaan, mungkin dapat kritikan keras,” ujarnya.
Antara karya sastera terbitan DBP yang telah diadaptasi ke skrin termasuklah:
» Platun Harimau karya Mohd Radzi Abd. Hamid,
» Hari-hari Terakhir Seorang Seniman karya Anwar Ridhwan,
» Kemboja di Hati karya Ramlah Abd. Rashid,
» Bening Cahaya Maulid karya Radzemah Bolhassan,
» Srengenge karya Shahnon Ahmad,
» Sesekali karya Siti Zaleha M. Hashim,
» Pendoa yang Ikhlas karya Azizi Haji Abdullah,
» Korban Kasih karya Fatimah Saidin,
» Capa Rengat Gulai Rawo karya Baharuddin Kahar, dan
» Ayahanda karya Azizi Haji Abdullah.

Kongsinya lagi, masa tayangan yang terhad pun menimbulkan kerumitan bagi memuatkan setiap elemen dalam novel, terutamanya jika novel tersebut panjang sangat atau kompleks.
Ini kerana pembaca akan membayangkan dunia cerita secara berbeza. Pengarah akan berdepan cabaran dalam menghasilkan visual yang disukai peminat novel ni.
Selain itu, usaha mengadaptasikan novel dalam format filem menyebabkan pengarah berdepan masalah keterbatasan kewangan.
“Babak dalam novel mungkin memerlukan set yang rumit atau kesan visual yang mahal. Terpaksalah hadkan kos sambil menjaga keaslian cerita, mengekalkan keseimbangan antara keaslinan dalam novel dan kreativiti filem,” ujar beliau.
Pemilihan pelakon pun menjadi masalah kerana sesetengah pelakon sudah pun diketahui latar hidup mereka. Maka penonton akan pantas membuat perbandingan dan mempertikaikan kenapa pelakon berkenaan dipilih memegang watak tersebut.

Filem Mereka Yang Tertewas bakal menemui penonton pada 7 November ini.
Novel tersebut pernah dijadikan teks pelajar sastera Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1991-2001. Justeru kerana novel itu sudah popular sebelum difilemkan menyebabkan wujudnya kata-kata sinis semasa membuat perbandingan.
Filem tersebut dibintangi oleh antaranya termasuklah oleh Zaidi Omar, Datuk Hilal Azman, Mubarak Majid dan Fiza Halim. Semasa sesi pratonton di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini, ia mendapat pujian kerana jalan ceritanya yang menyentuh jiwa, bertemakan isu keagamaaan dan kurafat serta konflik dalam kalangan penduduk kampung.
Watak utama Lebai Tapah dilakonkan oleh Zaidi yang dianggap berjaya memegang watak utama tetapi penampilan Fiza sedikit mendapat kritikan kerana wataknya sebagai Jamilah isteri Lebai Tapah.
Tapah dikatakan tidak sesuai untuknya. Fiza seorang pelakon jelita, berperwatakan lemah lembut dan banyak bermain emosi bagi menyabarkan suaminya yang dikritik kerana tidak disukai segelintir penduduk kampung.
Zulkifli mengakui tidak berpuas hati sepenuhnya apabila menumpahkan inti cerita daripada novel ke layar perak. Beliau mengakui hanya puas hati kira-kira 70 peratus.
Mengulas lanjut mengenainya Zulkeflie berkata, dalam keadaan sekarang adalah agak mencabar untuk mendapatkan persekitaran 1980-an yang menjadi layar novel berkenaan kerana masa sudah berubah.
Fiza pula mengulas bahawa dia memilih untuk menerima watak tersebut kerana menganggap Zaidi adalah sifunya dalam bidang perfileman dan kedua, novel tersebut sudah dibacanya semasa zaman persekolahannya.
Namun Fiza mengakul dia banyak bermain emosi dalam filem tersebut terutama selepas mendapati suaminya pulang ke rumah selepas mendapat tahu kehadirannya di kampung tidak diterima sepenuhnya.
Adakah filem Mereka Yang Tertewas mendapat sambutan hangat dan tidak mudah tewas di pawagam seperti mana novelnya akan diketahui selepas 7 November ini.
Namun, menurut Zulkeflie, Hasanudin telah memberi isyarat bagus dan berkata lulus dengan cemerlang.
Dalam pada itu Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari berkata, pihaknya menawarkan novel novel terbitan DBP sama seperti Mereka Yang Tertewas untuk difilemkan kerana menganggap semua novel terbitannya berkualiti.
Maka, katanya, terpulang kepada syarikat perfileman sama ada mereka mahu mengangkat novel tersebut kepada filem.
“Filem ini dibiayai menerusi dana Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebagai dana pembiaya,” ujarnya.
Beliau berkata, DBP menyokong usaha itu bagi membolehkan karya-karya bermutu yang diterbitkannya dapat dinikmati dalam medium berbeza. DBP kata bersedia membantu sebahagian dana pembiayaan bergantung kepada perincian Belanjawan 2025. “Adaptasi karya ke skrin ini dapat memberi peluang kepada khalayak untuk menghayati karya-karya sastera dalam bentuk yang lebih segar dan mudah diakses.
“Kita juga perlu menyedari bahawa adaptasi karya sastera ke skrin mampu menarik perhatian penonton baharu, terutamanya generasi muda,” ujarnya. – UTUSAN










