SAYA berharap pihak bertanggungjawab dapat memberi perhatian terhadap kebajikan dan keselamatan orang kurang upaya (OKU) serta warga emas yang lemah, selain berkaitan aktiviti dan isu mobiliti terutama bagi golongan berpendapatan rendah.
Sebagai seorang OKU, saya menyaksikan sendiri bagaimana perasaan kecewa, bahaya dan tidak berdaya ketika melintas jalan di Jalan Burma di hadapan Persatuan Buddha Pulau Pinang.
Kami ambil maklum tentang kewujudan lampu isyarat dengan masa yang sebenar. Ia lebih selamat dan biasa digunakan.
Oleh itu, kami memohon Kerajaan Pulau Pinang segera memberi perhatian dan menggantikan lampu isyarat di hadapan Persatuan Buddha Pulau Pinang dengan lampu isyarat mengikut masa sebenar. Contoh terbaik ialah dihadapan Sekolah Rendah Kesatuan. Tindakan segera diperlukan kerana menyedari laluan ini sangat padat dan memerlukan tindakan yang pantas.
Saya mengetengahkan perkara ini, bukan kerana saya sendiri OKU, bukan kerana pakcik dan makcik memerlukan bantuan, bukan sahaja di negeri kecil Pulau Pinang, tetapi yang paling penting, kami ingin mengingatkan Kerajaan Madani bahawa masalah OKU bukan hanya dibincangkan di kaca televisyen, tetapi memerlukan perhatian yang ikhlas dan sewajarnya. –UTUSAN
GOH CHUIN LOON
Timbalan Setiausaha
Parti Rakyat Malaysia (PRM) Pulau Pinang










