Penambat selera ‘pencinta’ asam pedas di Nilai

Penambat selera ‘pencinta’ asam pedas di Nilai

NORRAFINEE Mohd. Rodi bersama pelbagai hidangan masakan asam pedas yang dijual Ciksu Asam Pedas Johor yang beroperasi di Taman Semarak, Nilai, Seremban. – MINGGUAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun baru sahaja dibuka sejak setahun lalu, kedai makan Ciksu Asam Pedas Johor pantas menambat selera peminat masakan asam pedas khususnya di sekitar kawasan Nilai, Seremban.

Tampil dengan pelbagai lauk masakan asam pedas seperti ikan merah, jenahak, pari dan daging tetel yang menyelerakan dan disediakan ‘panas-panas’, tidak hairanlah pelanggan sanggup beratur panjang khususnya pada waktu tengah hari di kedai berkenaan yang beroperasi di Taman Semarak, Nilai.

Menurut pemiliknya, Norrafinee Mohd. Rodi, 43, dia tampil mengetengahkan menu asam pedas kerana tidak banyak pengusaha kedai makan yang menjualnya sebagai menu utama di sekitar bandar ini.

 

“Saya boleh memberi jaminan, pelanggan tidak akan kecewa dengan olahan masakan asam pedas di sini.

“Saya kekalkan keaslian masakan tradisional Melayu ini dan mereka yang tinggal di sekitar Nilai tidak perlu pergi jauh seperti ke Melaka dan Muar, Johor untuk menikmati asam pedas,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Dia menambah, kesemua lauk-pauk asam pedas itu dijual dengan harga yang berpatutan malah turut disediakan secara set.

“Seperti set asam pedas dijual pada harga bermula dari RM15 hingga RM22 mengikut jenis ikan dan ia dihidangkan bersama nasi, telur masin, timun serta sambal.

“Di samping itu terdapat aneka lauk-pauk lain antaranya seperti masak lemak siput sedut dan ikan bakar yang dijual dari harga bermula RM10,” menurutnya lagi.

Kata Norrafinee, menambah keistimewaan, turut ditampilkan menu-menu makanan pagi dan petang yang membolehkan pengunjung ke kedainya tidak hanya pada waktu tengah hari sahaja.

“Di sini juga ada roti titab, roti arab, lempeng pisang kelapa, roti bakar telur goyang serta chicken chop,” jelasnya.

Ciksu Asam Pedas Johor
Lokasi: MBS Foodie Station, Jalan TS Utama 3, Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: 8 pagi hingga 4 petang (Tutup pada setiap Selasa)
Menu popular: pelbagai masakan asam pedas, kerang, roti titab dan siput sedut.

Bercerita lebih lanjut, dia yang berasal dari Tumpat, Kelantan, memberitahu, permintaan daripada suaminya supaya mengusahakan kedai masakan asam pedas telah menguatkan semangatnya selama ini.

“Kami sebenarnya memang pencinta masakan asam pedas namun di Nilai memang sukar untuk mendapatkan masakan asam pedas yang betul-betul memenuhi cita rasa kami.

“Oleh itu, saya yang turut dibantu kakak, mengambil peluang tersebut dan mengetengahkan jenama Ciksu Asam Pedas Johor ini.

“Suami saya, Mohamed Nazeeb Mohamed Naina Marican, berasal dari Batu Pahat, Johor memang suka masakan asam pedas oleh itu saya gigih belajar memasak masakan ini supaya setanding dengan masakan sama di Melaka dan Johor,” jelasnya yang turut memberitahu kini dalam perancangan membuka cawangan di Labu Lanjut, Sepang, Selangor. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×