MASIH ingatkah pada buaya tembaga ‘jinak’ digelar ‘Mamat’ yang popular di Terengganu, beberapa tahun lalu?
Kisahnya menjadi perhatian ramai kerana disayangi penduduk kampung dan dianggap sebagai haiwan peliharaan mereka.
Setelah ditangkap pada 2021, haiwan jantan berukuran 3.86 meter panjang dan seberat 250 kilogram itu dipindahkan ke habitat semula jadi di Dengkil.

Kru operasi Gamuda Land, Mohd. Firdaus Khayrul berkata, Mamat merupakan antara 68 penghuni di Tasik Buaya Tembaga di Paya Indah Discovery Wetlands (PIDW).
Tidak sukar buat para petugas mengesan sang bedal itu kerana fizikalnya unik berbanding yang lain.
“Di sini, Mamat merupakan satu-satunya buaya berkepala kecil tetapi berbadan besar. “Bagaimanapun, fizikalnya itu sudah semakin susut kerana keperluan untuk memburu makanan sendiri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sebelum ini, Mamat dikatakan obes kerana sentiasa ‘diberi’ makan oleh orang-orang kampung sepanjang ‘tersesat’ dan berkeliaran di lombong tinggal di Tepoh sejak 2016.

BUAYA TIDAK MAKAN SETAHUN
Selain memburu ikan, buaya-buaya di PIDW turut diberikan sajian tambahan, berupa ayam pada hujung minggu.
Mohd. Firdaus berkata, haiwan itu tidak boleh ‘diberi’ makan setiap hari kerana sistem pencernaannya yang perlahan dan tahap metabolisme amat rendah.
“Buaya boleh ‘berpuasa’ selama berbulan-bulan hingga setahun, setiap kali selepas ‘makan besar’.
“Contohnya semasa bertelur, buaya betina tidak makan selama tiga bulan dan setia menjaga sarangnya di darat,” katanya.
Walaupun memiliki 24 set gigi, namun buaya tidak mengunyah makanan, sebaliknya terus ditelan selepas dicengkam.
Pemangsa ganas itu kemudiannya akan menelan batu bagi memproses setiap makanan di dalam perutnya.
Dalam masa sama, batu itu berfungsi sebagai pemberat semasa ia berada dalam air.
NGANGA MULUT
Kebanyakan buaya akan membuka mulut ketika ‘bersidai’ di tebing-tebing sungai atau tasik. Perbuatan itu bukan kerana lapar, sebaliknya bertujuan menurunkan suhu badan.
“Buaya tidak berpeluh seperti manusia dan dengan mengangakan mulut, udara dapat keluar masuk dari badannya.
“Biasanya proses itu berlaku kurang sejam sama ada di waktu pagi, petang dan selepas hujan,” kata Mohd. Firdaus.
Buaya juga tidak bersidai secara berkumpulan kerana sifat sejatinya yang bengis dan boleh bergaduh jika ‘penceroboh’ memasuki kawasan mereka.

LOMPAT DARI DALAM AIR
Buaya tembaga atau nama saitifiknya, crocodylus porosus merupakan spesis terbesar dan paling berbahaya di dunia.
Dikenali sebagai perenang hebat, ia boleh berada di air payau dan masin seperti di sungai dan laut.
Jangka hayatnya adalah sehingga 70 tahun dengan panjang maksimum mencecah sehingga tujuh meter dan berat melebihi satu tan.
Mohd. Firdaus berkata, antara kelebihan lain buaya tembaga ialah keupayaan melompat setinggi dua meter dari dalam air.
“Lagi besar saiznya, lagi tinggi lompatan yang boleh dibuat tetapi hanya dari dalam air dan bukan di darat.
“Selain itu, buaya jantan tidak bergaduh dengan betina malah melindungi pasangannya dengan ‘berjaga’ di air berdekatan sarang sepanjang tiga bulan proses bertelur,” katanya









