Pelbagai negara sifatkan PADU sistem inklusif

Pelbagai negara sifatkan PADU sistem inklusif

ANTARA pembentang kertas kerja dari lebih 10 negara dan organisasi statistik antarabangsa pada Forum Data Doha, Qatar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggunaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang diperkenal Kerajaan Malaysia diyakini dapat memberi pulangan hasil dalam usaha penambahbaikan sistem penyampaian sekali gus memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

Perkara itu disampaikan Ke­tua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menerusi pembentangan berkaitan PADU ketika Forum Data di Doha, Qatar, kelmarin yang disertai lebih 10 negara dan organisasi statistik antarabangsa.

Kebanyakan negara menyam­but baik pelaksanaan PADU oleh Malaysia yang disifatkan satu sistem yang inklusif.

“Negara lain seperti Finland juga berkongsi inisiatif sama se­perti Malaysia,” katanya semalam.

Dalam sesi pembentangan pada Forum itu, Mohd. Uzir berkata, sebagai pangkalan data komprehensif yang mengintegrasikan maklumat daripada pelbagai agensi dan dikemas kini orang ramai, PADU memberi kuasa kepada kerajaan untuk menggubal dasar dan melaksanakan program pembangunan dengan lebih jitu dan berkesan.

Kata beliau, ia seterusnya meningkatkan kesejahteraan negara terutama meningkatkan pengurusan bantuan dan pe­ngagihan subsidi.

“Antara faedah lain adalah mengukuhkan rangka kerja pe­ngurusan bencana dan menangani krisis ketidakpadanan antara pekerjaan dan pendidikan.

“Sistem ini mampu menyediakan negara untuk menghadapi cabaran penduduk yang semakin menua dan merapatkan jurang dalam perlindungan sosial,” katanya yang lengkap berbaju Melayu ketika sesi pe­nyampaian itu yang secara tidak langsung mempromosikan Malaysia di pentas dunia.

Mohd. Uzir berkata, sistem PADU juga berupaya memboleh­kan pengurusan belanjawan negara yang lebih strategik dan berfungsi sebagai enjin untuk transformasi kerajaan digital.

PADU dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu yang mengandungi 39 maklumat untuk dikemas kini individu ber­umur 18 tahun ke atas dengan maklumat yang sah, tepat dan terkini mengikut lapan tema.

Beliau menegaskan, semua data atau maklumat individu dalam PADU adalah sulit.

“Sistem PADU membolehkan semua rakyat mengambil bahagian dalam membentuk lebih inklusif dan dipacu data yang cekap kerajaan.

“Daripada melawat kaunter, individu boleh mengemas kini maklumat mereka dengan mudah, memastikan maklumat itu tepat dan terkini.

“Usaha bersama antara kerajaan dan rakyat ini secara tidak langsung meningkatkan kualiti perkhidmatan penyampaian awam dengan ketara yang boleh meminimumkan segala kesulitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×