SAYA tertarik untuk mengikuti perkembangan wanita jelita ini lantaran kagum dengan perkongsian dan pengalamannya menjawab peperiksaan untuk pengajian ijazahnya sewaktu sedang berpantang.
Bukan sekali, tetapi dua kali iaitu selepas melahirkan anak pertama dan keduanya.
Kegigihan Fazeera Nazri Azrai, suri hati kepada aktor tampan, Fizo Omar ini, dalam mengejar ilmu sememangnya layak dikagumi.
Dalam hati saya terdetik, gigihnya wanita ini mengejar ilmu walaupun dalam keadaan sebegitu.
Biasanya wanita yang baharu lepas melahirkan, memerlukan rehat secukupnya apatah lagi perlu menguruskan bayi yang baharu sahaja melihat dunia. Pendek kata, ia bukan mudah dilakukan.
Namun, selepas berpeluang menemubual beliau baru-baru ini, baharulah saya tahu, ruparupanya ada tragedi yang menjadi titik tolak mengapa ibu muda berusia 28 tahun ini begitu memandang tinggi ilmu dan pengetahuan.
Wanita asal Kuching, Sarawak ini berkata, hanya ilmu yang boleh mengubah masa depan individu untuk menjadi lebih baik.
Akuinya, ketika usianya belasan tahun, dia tidak terfikir untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas menamatkan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 2016.
Tidak lain tidak bukan kerana sejurus selepas STPM beliau mendapat tawaran untuk menjadi pramugari di sebuah syarikat penerbangan tempatan.
Jatuh cinta dengan kerjaya itu, beliau kemudian melebarkan pula sayapnya ke peringkat antarabangsa dengan bekerja sebagai pramugari di Qatar Airways yang sememangnya menjadi impian kebanyakan anak kapal.
“Ketika itu saya sangat gembira kerana boleh mengembara ke seluruh dunia, ke Paris , London dan sebagainya.
“Sehinggalah ketika pandemik Covid-19 melanda pada 2020, saya terpaksa diberhentikan kerja dan terkandas di Doha, Qatar selama lebih lima bulan.
“Tiada kerja, tiada keluarga membuatkan saya tertekandan murung sehinggalah saya dapat pulang ke tanah air pada penghujung tahun 2020. Tetapi ketika itu pun saya lebih selesa mengunci diri di dalam bilik kerana risau memikirkan masa depan,” kongsinya.

Peristiwa itulah yang mendorong dirinya menyambung pelajaran bagi mengubah nasib.
Beliau mula mencari universiti yang menawarkan pengajian sepenuh masa secara dalam talian kerana dalam masa sama, beliau perlu bekerja untuk menjana pendapatan.
“Saya terfikir sampai bila saya hendak menunggu untuk diambil kerja semula. Tetapi untuk cari kerjaya lain saya tidak ada kelayakan pula. Daripada situ timbul idea untuk sambung pelajaran ke peringkat ijazah walaupun ketika itu sudah berusia 25 tahun.
“Sambil itu saya bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Shopee. Sejujurnya, gaji yang saya peroleh ketika itu sangat berbeza dengan gaji saya sebagai pramugari yang mencecah lima angka.
“Tetapi saya tetap melakukannya dengan sepenuh hati dan saya aplikasikan semua yang saya pelajari sebagai pramugari ke dalam kerja tersebut dan menariknya, saya rasa seronok,” katanya.
LULUS CEMERLANG
Walaupun sibuk dengan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu menguruskan tiga cahaya mata, Wan Maryam (anak Fizo daripada perkahwinan pertama), Wan Khaleeda,2, dan Wan Umaira,1, namun wanita ini cekal menghabiskan pengajiannya.
Lebih manis apabila beliau bukan sahaja lulus dengan cemerlang, malah dilantik sebagai Pensyarah Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di University College of Aviation Malaysia.
Ternyata jerih payahnya mengulangkaji pelajaran dan menjawab peperiksaan ketika dalam pantang tidak sia-sia.
Siapa sangka, walaupun memulakan pengajian ijazah agak lewat iaitu pada usia 25 tahun, akhirnya Fazeera berjaya membolosi kerjaya sebagai ahli akademik.
“Kalau hendak cakap mengenai sistem sokongan, saya sangat berterima kasih kepada ibu mentua saya kerana dialah tulang belakang saya dalam menempuh semua ini.
“Ibu mentua saya sangat membantu. Ketika saya hendak menjawab peperiksaan ibu mentua yang tolong saya jaga anak-anak.
“Dia suruh saya fokus kepada peperiksaan sahaja kerana waktu itu kami masih belum ada pembantu,” katanya.
Mengulas mengenai kerjayanya sebagai pensyarah ketika ini, katanya ia sememangnya adalah kerjaya pilihannya sementelah dia gemar berkongsi ilmu dan mendidik anak muda.
“Saya suka baca buku dan ilmu yang saya dapat daripada buku yang saya baca itu, saya suka kongsikan di media sosial untuk dimanfaatkan bersama orang lain.
“Sebab itu saya memang memilih untuk menjadi pensyarah sebab saya nak kongsi ilmu dan juga mendidik generasi muda,” jelasnya.
Tidak terhenti di situ, Fazeera juga bakal melanjutkan pelajarannya ke peringkat Sarjana tidak dalam bidang kaunseling tahun depan dan seterusnya sehingga ke peringkat doktor falsafah.
“Bagi saya ilmu itu bukan sekadar untuk memandaikan diri tetapi ia juga sebagai platform untuk melunaskan emosi sebagai seorang wanita dan juga mengembangkan minda.
“Sebab wanita ini satu makhluk yang beremosi. Jadi, bila ada peluang teruskan belajar dan mencari ilmu. Dengan belajar kita tidak akan ada masa untuk berfikir yang negatif. Biasanya, fikir berlebihan (overthinking) boleh menyebabkan minda kita mula menerawang dan berfikir bukan-bukan,” kongsinya.
SEBAHAGIAN ANAK SENI
Memilih untuk menamatkan zaman bujang bersama Fizo,39, pada Oktober 2021, Fazeera sedar bahawa dirinya sudah menjadi sebahagian daripada anak seni.
Oleh itu, pembawakan diri dan segala tindak-tanduknya perlu lebih berhati-hati bagi menjaga nama baik mereka sekeluarga. Kata Fazeera, syukurlah suaminya itu banyak membantu dan membimbingnya untuk mengendalikan media sosial dengan
lebih baik.
“Sejak berkahwin dengan Fizo, saya turut mendapat perhatian daripada umum. Sejak itu juga saya menjadi pempengaruh di media sosial dengan membuat ulasan produk dan sebagainya.
“Pada awalnya memang agak kekok, namun suami banyak membantu saya menguruskan media sosial dengan baik termasuklah membimbing untuk tidak memuatnaik sesuatu yang tidak perlu,” jelasnya.

RAHSIA KECANTIKAN
Walaupun sudah beranak dua, wanita ini masih saja tampil ramping dan kurus persis anak dara.
Ditambah pula dengan kulit wajahnya yang putih mulus kelihatan menawan walaupun tampil dengan solekan tipis.
Mengungkap rahsia kecantikannya, Fazeera berkata, rawatan penjagaan diri itu sudah sebati dalam dirinya semenjak menjadi pramugari
lagi.
“Semasa menjadi pramugari, kami dibrainwash supaya perlu kurus dan mempunyai kulit mulus untuk tampil cantik.
“Sehingga kini walaupun sudah tidak bekerja dalam bidang itu, saya masih mengamalkan penjagaan diri yang sama,” katanya yang gemar
meluangkan masa tiga hingga empat kali seminggu bersenam seperti berlari atau melakukan rutin senaman mudah.
Dalam usaha memastikan tubuh kekal langsing, beliau turut mengurangkan pengambilan gula dalam diet seharian bagi mengelakkan pengambilan gula berlebihan.










