‘Saya bukan dalang 1MDB’

Najib mohon maaf, bukan dalang 1MDB

MOHAMAD Nizar Najib (dua dari kanan) membaca kenyataan dan permohonan maaf Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seminggu se­belum Mahkamah Tinggi di sini membuat keputusan sama ada akan memanggil Datuk Seri Najib Tun Razak membela diri atau tidak bagi kes penyelewe­ngan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, bekas Perdana Menteri itu semalam membuat permohonan maaf.

Dalam kenyataan yang dibacakan oleh anaknya, Datuk Mohamad Nizar, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menyatakan rasa terluka kerana penyelewengan itu berlaku ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Bagaimanapun, Najib masih mengekalkan pendirian tidak bersalah, sebaliknya mendakwa turut ditipu oleh ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau nama penuhnya, Low Taek Jho.

ANALISIS

“(Merujuk kepada) Perbicaraan dan sabitan kes terhadap eksekutif PetroSaudi di Mahkamah Switzerland dan artikel yang diterbitkan oleh The Edge yang berdasarkan kepada analisis mereka terhadap kes tersebut serta e-mel dalaman PetroSaudi, sekali lagi membuktikan saya bukanlah dalang dan tidak bersekongkol dengan Jho Low untuk menyeleweng dana 1MDB.

“Saya telah pun dihukum atas tanggungjawab yang telah saya pikul walaupun dengan jelas saya bukanlah dalang kepada skandal 1MDB dan tidak pernah sekali pun bersekongkol dengan Jho Low,” katanya.

Najib, dalam masa sama turut menyatakan kekesalannya dan mengakui beliau sepatutnya mengambil langkah yang berbeza.

“Apabila timbul kebimba­ngan dan pelbagai pihak mula mempersoalkan apa yang berlaku di 1MDB, saya sepatutnya mengambil tindakan yang berbeza. Saya telah mengarahkan pelbagai siasatan dijalankan namun saya cenderung untuk mempercayai penjelasan oleh lembaga pengarah dan pihak pengurusan 1MDB.

“Apabila saya mula curiga tentang apa yang sebenarnya berlaku di 1MDB, kebimba­ngan utama saya adalah kepada kedudukan kewangannya dan risiko yang ditimbulkannya terhadap hubungan diplomatik dan dua hala di peringkat ter­tinggi,” katanya.

TERKEJUT

Tambah Najib, beliau masih terkejut dengan skandal penyelewengan tersebut.

“Saya masih lagi terkejut dengan mendalam apabila menge­tahui mengenai kepincangan, perbuatan yang tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan serta pelanggaran undang-undang yang telah berlaku dalam1MDB,” kata Najib.

Najib sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah atas tuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik anak syarikat 1MDB iaitu SRC International Sdn. Bhd.

Beliau pada mulanya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta tetapi dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta selepas diberi pengampunan oleh Lembaga Pengampunan pada 2 Februari lalu.

Pada 30 Oktober ini, Mah­kamah Tinggi akan membuat keputusan di akhir kes pendakwaan bagi kes penyelewengan dana 1MDB.

Najib didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Najib turut menghadapi 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×