KUALA LUMPUR: Satu Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan sedang dirunding negara-negara ASEAN bersama China bagi mengelakkan ketegangan di perairan itu.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, COC dilihat sebagai satu tatacara bagi mengelak konflik dan ketegangan di Laut China Selatan.
Kata beliau, ia akan dilaksanakan tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara masing-masing.
“Buat masa ini, negara-negara ASEAN dan China sedang merundingkan COC di Laut China Selatan.
“Untuk tahun 2024, rundingan COC diadakan sebanyak empat kali iaitu di Bali, Indonesia pada Mac; Bangkok, Thailand pada Mei dan yang terkini telah diadakan di Xi’an, China pada September lalu,” katanya ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) di Dewan Rakyat, semalam.
Satu lagi pusingan rundingan COC itu katanya, akan diadakan di Vientiane, Laos pada bulan depan.
Terdahulu Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) bertanyakan tentang penyelesaian ketegangan di Laut China Selatan antara China dengan Malaysia, Vietnam, Filipina, Brunei serta Taiwan dan apakah Malaysia boleh menjadi pemudah cara untuk menyelesaikan pertikaian tersebut.
Pertikaian sempadan di perairan berkenaan sudah menjadi isu sejak beberapa tahun lalu namun dilihat semakin tegang kebelakangan ini dengan kehadiran lebih banyak aset pertahanan China.
Malah telah berlaku beberapa kali insiden kapal keselamatan China dan Filipina hampir bertembung apabila masing-masing mendakwa berlaku pencerobohan sempadan.
Kata Mohamad, Malaysia beriltizam memastikan supaya kod tatalaku itu menjadi dokumen efektif dan substantif bagi menangani isu-isu berkaitan Laut China Selatan.











