Syatilla Melvin enggan niat amal disalah erti - Utusan Malaysia

Syatilla Melvin enggan niat amal disalah erti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASTIYA ramai kalangan Muslimin dan Muslimat di negara kita kini saling berebut peluang untuk meraih pahala apalagi Ramadan sering sahaja dikaitkan dengan ganjaran tersebut yang lebih berganda.

Sama seperti orang lain, pelakon dan usahawan selebriti terkenal, Syatilla Melvin juga berkongsi rasa dan emosi yang sama dan ia dapat dilihat menerusi hasratnya dalam membantu dan memberi semula kepada masyarakat selepas satu demi satu kejayaan perniagaannya terukir.

Berkongsi cerita dengan pihak media baru-baru ini tentang hajatnya membantu untuk menyambung pembinaan sebuah masjid yang terbengkalai di Sungai Siput, Perak, Syatilla mengaku niatnya tiada lain melainkan mahu meraih pahala seberapa banyak yang boleh.

Dari sudut pandangnya, hasil keringat berniaga dalam bidang keusahawanan sudah pun dirasai selama ini, namun dia tertanya, apa pula usahanya dalam membantu masyarakat yang memerlukan?

“Jadi apabila saya dapat tahu ada sebuah kampung di daerah itu yang sudah lama berdepan dengan masalah pembinaan masjid yang terbengkalai, saya fikir mungkin inilah peluang untuk saya lakukan sesuatu.

“Khabarnya, di kampung itu cuma ada sebuah surau kecil dan tak mampu untuk menampung jumlah penduduk pada satu masa termasuk anak-anak tahfiz di situ dan kebetulan, ada sebuah pembinaan masjid yang sudah lama terhenti.

“Maka, saya ambil inisiatif ini beramal jariah dengan dalam masa yang sama membuka peluang yang sama jika ada pihak luar yang ingin menderma sama,” katanya.

Cukup sedar bahawa mungkin ada pihak di luar sana yang menganggap dirinya seolah-olah cuba menunjuk baik, Syatilla tidak melenting.

Bahkan, dalam nada tenang, isteri kepada pelakon Shaheizy Sam ini menganggap tiada salahnya jika dia menggunakan platform dan kelebihannya sebagai seorang selebriti untuk dijadikan inspirasi masyarakat.

“Kalau ada yang kata saya cuma nak tunjuk baik, orang begitu nampak sangat hati busuk dan suka dengki. Jangan fikir begitu, saya ini cuma memanfaatkan sebaik mungkin nama dan kelebihan yang ada saja.

“Saya bukan ambil duit sesiapa untuk kegunaan sendiri. Memang tujuannya untuk membina masjid tersebut buat kegunaan aktiviti keagamaan orang kampung di situ.

“Buat apalah saya nak raih duit lagi, saya sudah ada perniagaan dan sumber pendapatan sendiri. Janganlah cakap yang bukan-bukan,” katanya.

Pentingnya keberkatan

Dalam pada itu, Syatilla mengakui, barangkali kerana faktor usia membuatkan dirinya lebih cenderung dan terarah kepada jalan kebaikan pada ketika ini.

Katanya, seiring dengan kematangan diri, dia banyak belajar daripada pengalaman lalu dan baginya, pergaulan sekeliling juga memainkan peranan dalam mengubah diri seseorang itu.

“Tak nafikan, dulu saya tak macam diri saya sekarang. Dulu, saya berkawan dengan orang yang entah apa-apa sekali gus diri pun jadi entah apa-apa.

“Satu yang saya belajar, berniaga ini bukan pasal duit saja. Tapi keberkatan itu penting termasuk hak orang tertentu. Semua itu membuatkan saya banyak berfikir dan berubah.

“Kita pun tak tahu mampu hidup sampai bila, jadi tak salah kalau perlahan-lahan beransur ke jalan yang lebih baik,” katanya.

Meraih pandangannya mengenai istilah istidraj, kata wanita berusia 30 tahun ini lagi, dia juga sama seperti orang lain, bimbang dan takut.

“Satu ketika dulu, saya sendiri tak faham apa maksud istidraj itu, tetapi bila bergaul dengan rakan-rakan, baru faham. Betul, adakala bila tengok sekeliling ada ujian, sebenarnya itu jugalah ujian untuk diri sendiri.

“Selalulah juga saya berdoa agar ditetapkan iman dalam jiwa dan tidak tergelincir daripada landasan dan jalan-Nya,” katanya.

Kerjasama LB Creuset

Menjelas lanjut, kata Syatilla, dia juga berasa beruntung kerana ketika sebuah jenama makanan tempatan, LB Creuset mempelawanya untuk bekerjasama menerusi promosi Nasi Daging Telentang, pengasasnya, Syed Haniff Jamalullail dan Leon Pedro Puung mempunyai misi dan visi yang sama.

Menurut wanita ini, kedua-dua pengasas itu bersetuju untuk menyokong hasratnya dalam usaha menyambung membina masjid tersebut menerusi permintaannya agar semua hasil jualan Nasi Daging Telentang disalurkan kepada projek amal itu.

“Memang saya tak ambil duit hasil jualan itu langsung. Kami bertiga sasarkan untuk kumpul duit hasil jualan sehinggalah dapat menyiapkan masjid tersebut.

“Anggaran jumlah yang masih diperlukan adalah kira-kira RM200,000 dan ia termasuk memasang pendingin hawa, kemasan karpet dan kelengkapan lain di masjid itu nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×