Apabila puisi, teromba ‘bertandang’ ke anjung rumah

Apabila puisi, teromba ‘bertandang’ ke anjung rumah

PROGRAM Malam Puisi Teromba mengajak masyarakat menghargai kata-kata indah yang diucapkan menerusi teromba dan puisi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam tradisi masyarakat Melayu, apabila bertandang ke rumah orang, adat budaya mesti dipelihara, kesantunan bahasa diucap dengan berhati-hati dan indah intipatinya.

Itu adat orang Melayu bertandang, tidak menyusahkan apatah lagi melukakan perasaan tuan rumah.

Beradat budaya, berbicara indah, bersopan dalam perbualan dengan sapaan penuh mesra menjadikan pertemuan itu mencipta suasana kemesraan dan beradab.

Ini yang cuba digambarkan dalam penganjuran program Malam Teromba, Puisi dan Lagu Puisi yang diadakan baru-baru ini.

Penganjur cuba memberi sedikit kelainan dalam aktiviti sastera dan budaya tanah air dalam usaha melestarikan budaya kesusasteraan Melayu dan Negeri Sembilan dengan pengujaran sajak, pantun dan monolog.

Program tersebut yang bermatlamat memartabat budaya seni, melestari tradisi sastera dan budaya Melayu Negeri Sembilan diisi dengan aktiviti pembacaan teromba, gurindam dan syair.

Program tersebut dianjurkan Kelab Teater Anak Seni Ahmad Rashidi (ASAR) Negeri Sembilan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Persatuan Penulis Negeri Sembilan serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan di Auditorium Raja Melewar Kompleks JKKN Seremban.

Dalam program yang berlangsung kira-kira dua jam 20 minit itu, terisi pengucapan teromba yang sangat padat, berkias dengan deklamasi sajak, monolog, bacaan puisi, gurindam dan pantun berkait.

Teromba adalah seni bertutur kata dalam budaya Adat Perpatih Negeri Sembilan, menjadikan malam puisi itu unik dan berbeza.

Program tersebut juga diserikan juga dengan nyanyian lagu-lagu puisi yang terpilih daripada lagu-lagu puitis yang disampaikan oleh penyanyi-penyanyi dan komposer muda yang sedang mengembangkan bakat dan ciptaan serta penyanyi undangan tersohor.

Menurut pengarah program, Prof. Madya Dr. Ahmadrashidi Hasan, program tersebut mengetengahkan kelainan.

 

 

“Setting, props dan penataan cahaya diberi perhatian untuk menghasilkan satu malam yang memiliki aura tersendiri.

“Puisi, sajak, lagu, teromba dipilih berjaya menyampaikan amanat kemanusiaan kepada penonton.

“Sangat berpuas hati sebab dapat memartabatkan sastera dan puisi pada tahap yang tinggi,” ujarnya
Menurut beliau, penyampaian dan pengucapan puisi sangat berjaya oleh penyair-penyair yang hebat di Negeri Sembilan termasuklah antaranya Nisah Haron, Mahaya Yassin dan Dr. Ani Omar.

Kata beliau, gabungan persembahan dengan lagu puisi oleh kumpulan pemuzik indie yang mempersembahkan lagu lagu yang puitis menjadikan malam itu penuh kenangan.

Menurut beliau lagi, ia merupakan satu usaha melestarikan kesenian bangsa demi kelangsungan warisan yang gilang-gemilang.

Di Negeri Sembilan, teromba menjadi khazanah yang tiada terkira nilainya. Puisi tradisional ini wajar sentiasa dipupuk.

“Teromba adalah kata-kata adat orang Negeri Sembilan. Dalam majlis atau perbualan, ada adat dan adabnya ketika berkata-kata agar kata-kata tersebut jadi indah dan menarik. Ia berirama lembut, kata-kata puitis, banyak perumpamaan dan perbidalan. Setiap majlis ada terombanya seperti dalam majlis pertunangan, ada adatnya,” jelas beliau lagi.

Maka kejayaan penganjuran tersebut benar-benar memukau penonton. Tambah mengujakan, adalah keunikan set latar yang berkonsepkan rumah dan halaman Melayu dan Adat Perpatih Negeri Sembilan.

Keistimewaan dan keunikan ukiran kayu rumah telapak Adat Perpatih diserlahkan penataan cahaya yang sangat sesuai menjadikan suasana malam tersebut terasa syahdu hingga mampu menjadikan malam puisi ini sebuah malam yang penuh kenangan dan memori.

Pada malam tersebut, teromba disampaikan berjaya membuka mata penonton tentang keindahan kata-kata Adat Perpatih Negeri Sembilan.

Kata-kata Teromba Hidup Beradat oleh Fadle Isa, umpamanya menggambarkan keindahan budaya hidup beradat Perpatih.

Teromba Kepemimpinan oleh AhmadRashidi, yang juga bertindak sebagai pengacara pada malam itu menyampaikan kata-kata adat sifat pemimpin dalam budaya Adat Perpatih dan Pengujaran

Kata Adat Adat Nikah oleh Pak Lang dan Mak Lang Anjung, menjelaskan adat nikah kahwin dalam budaya Adat Perpatih yang serba memukau. Selain itu, teromba turut diketengahkan adalah monolog.

Monolog yang dipersembahkan dengan penuh semangat oleh Fazreen Mohd, juga memukau penonton.

Apatah lagi, gaya persembahan yang berunsur semangat, penuh beremosi serta bervariasi menjadikan waktu 10 minit persembahannya dengan menaratifkan peperangan dan kematian bersifat dinamik dalam rasa suka, duka, cemas, sedih, takut dan kasihan benar-benar memukau penonton.

Pengujaran, pembacaan dan deklamasi puisi pula dipersembahkan oleh pesertamuda dalam kalangan Ahli Persatuan Penulisan Negeri Sembilan (PEN).

Dalam pada itu, Johan Sayembara Puisi Kemerdekaan Negeri Sembilan 2024 Nurul Izzah Kasmadi mendeklamasikan sajak Mencantum Perca Membina Nusa karya Usman Gumanti.

Hakim Bahaman pula mempesonakan penonton pada malam itu melalui sajaknya Wajah Bonda karya Azmi Ismail. Maka jelas, deklamator muda Negeri Sembilan ini menunjukkan potensi yang menakjubkan.

Dalam pada itu, syair melalui naskhah Syair Perahu yang disampaikan oleh Farrah Nabila mengekalkan momentum tumpuan audien dengan kelunakan dan kelembutan suaranya dengan memilih melodi rawi sebagai lagu dendangan.

Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran tetamu undangan Exco Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Sembilan,Nicole Tan Lee Koon dan Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri Datuk Mohd. Faizal Ramli.

Selain itu deklamasi sajak nukilan Zulkarnain, seorang guru besar, Taufan Al-Aqsa yang diikuti dengan nyanyian puisi lagu tajuk yang sama dipersembahkan berjaya menyentuh hati dengan paparan gambar-gambar suasana kepiluan di Palestin di papan diod pemancar cahaya (LED) yang melatari persembahan.

Sajak genre mestamu (memelodikan sajak tanpa muzik) yang jarang ditemui ini disampaikan oleh Mahaya Yassin, dibantu cucundanya.

Malam Teromba, Puisi dan Lagu Puisi barangkali kurang lengkap seandainya tidak menampilkan juga persembahan lagu-lagu puisi. Persembahan Siso (Kopratasa), selain Zulkarnain, yang menyampaikan lagu puisi Berkolek Bersajak, puisi karya JM Aziz dengan penuh gaya penghayatan dan bertenaga menjadikan auditorium terasa hening seketika. Siso penyanyi berpengalaman yang sudah tentu melengkapkan malam persembahan dengan sedemikian indahnya.

Sebelumnya, telah tampil dua anak muda, Lolaophy dan Megat Fazly. Tiga lagu Indie yang puitis ciptaan komposer Aziem Rashidi, Tentang Siang Malam dan Romantis, Tulisan Nasib Kita dan Remedi Untuk Emmelina diiringi Band Indie ASAR berjaya menjadi remedi kepada golongan muda yang hadir pada malam itu.

Deklamasi puisi oleh Datuk Dr. Lim Swee Tin yang menyampaikan sajak nukilannya bertajuk Sahabat mendapat perhatian penuh hadirin pada malam itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×