IKAN bekok atau dalam dialek Kelantan disebut ‘Ike Bekok’ boleh menjadi bahan pelaris restoran apabila hidangan tradisional ini diakui keenakannya.
Buktinya, Restoran Bunyi Ombak Pantai Mek Suri, Tok Bali di Pasir Puteh, Kelantan menjadi tumpuan ramai pengunjung dengan menu utama ike bekok yang diproses sendiri.
Walaupun restoran ini tersorok jauh dari laluan utama Bachok – Kuala Besut, kedai makan yang berkonsep santai di pinggir Laut Cina Selatan ini tetap menjadi medan selera orang ramai.

Pengusaha muda yang juga pemilik restoran ini, Wan Muhammad Hisyamuddin Wan Far, 21, berkata, perniagaan yang hanya berusia dua tahun akan terus dibangunkan dengan dekorasi dan prasarana yang lebih lengkap.
Menurutnya, perniagaan itu diasaskan bapa tirinya, Mohd. Zain Hussin, 45, yang pernah berniaga di bandar Kuala Krai pada tahun 2014 hingga 2023.
RESTORAN OMBAK PANTAI MEK SURI
Beroperasi: Setiap hari (Pukul 12 tengah hari-10 malam)
Lokasi: Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan. – https://maps.google.com/?cid=8376557044115947634&entry=gps
Menu popular: Nasi panas dengan ikan goreng bekok
“Bolehlah dianggap sebagai perniagaan warisan yang melibatkan sajian nasi panas bersama ikan bekok goreng.
“Ikan bekok dihidangkan bersama kuah pilihan iaitu sayur lemak atau masakan singgang ikan Selayang atau ikan tongkol,” katanya ketika ditemui di Restoran Ombak Pantai Mek Suri, Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.
Restoran ini bukan hanya menyediakan meja makan dalam premis tetapi turut dibina meja dan bangku di bawah pokok Rhu untuk memberi peluang kepada pengunjung menikmati suasana pantai.

Menurut Wan Muhammad Hisyamudin, hidangan satu mangkuk budu yang lengkap adunan keratan cili padi, bawang merah dan asam limau adalah menu wajib dalam pakej nasi ike bekok.
Katanya, harga satu hidangan untuk seorang makan adalah RM15 namun ia bergantung kepada pilihan alternatif termasuk ayam goreng dan jenis ikan bekok yang diminta pelanggan.
“Hirisan buah limau nipis akan diletakkan di atas ikan bekok goreng sebagai penambah perisa dan penyedap rasa apabila airnya diperah di atas ikan bekok.
“Ada budu wajib ada regu lawannya, ulam. Menu yang dihidangkan boleh dikatakan seimbang dengan sayuran mentah selain yang dimasak dalam sayur lemak,” katanya.
Beliau berkata, ikan bekok mentah turut dijual kepada pengunjung untuk dibawa pulang iaitu ikan gelama dan cencaru masing-masing RM20 seekor (saiz besar), manakala ikan siakap, jenahak dan ikan merah dijual dengan harga RM50.
“Kira-kira 16 orang pekerja bermula dengan proses siang ikan, pengurusan mesin salai hinggalah pelayan mendapatkan tempahan makanan,” katanya.
Wan Muhammad Hisyamuddin berkata, restorannya beroperasi setiap hari bermula pukul 12 tengah hari hingga 10 malam juga menawarkan masakan panas selain sup gearbox lembu tempatan dan ayam kampung goreng.
Katanya, pengunjung yang datang adalah daripada pelbagai latar belakang dari seluruh negara termasuk rombongan dari utara, selatan dan Pantai Barat.
“Waktu puncak adalah antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang. Ada yang terus datang dan ada yang membuat tempahan awal secara dalam talian. Kita daftarkan lokasi restoran yang mudah dicari menerusi peta Google,” katanya. – UTUSAN










