SEPERTI biasa sebaik loceng ditekan dan berdering bas akan mula bergerak perlahan. Pemandu memberi lampu isyarat sebelah kiri bagi memberitahu kenderaan yang mengekori atau berada di belakang. Di kala begitulah Aman terasa hatinya melonjak girang. Tidak sabar dia hendak turun.
“Nanti dulu, Tunggu bas berhenti,” tegah mak sambil memegang erat tangannya. Dia sudah pun berdiri dari tempat duduk. Bukan apa, mak khuatir dia terjatuh ketika pemandu membrek.
Pergerakan bas kian perlahan. Laluannya kian ke tepi di bahu jalan. Bas Lian Hoe berbelang kuning pinang masak dan hitam itu akhirnya berhenti. Para pemandu seakan menghafal tempat di mana sepantasnya penumpang yang membunyikan loceng itu turun, meski tanpa tanda atau pondok perhentian.
‘Bas berhenti-henti’ yang beroperasi saban hari di antara dua bandar di Selatan tanah air itu bergerak semula meninggalkan mereka dua beranak di tepi jalan raya. Demi keselamatan, mak menoleh ke kiri kanan beberapa kali bagi memastikan tiada sebarang kenderaan sebelum melintas.
Terdapat sebuah kedai minuman di kanan jalan serta sebuah tokong yang agak besar tidak jauh darinya. Itulah mercu tanda senang diingat setiap kali berkunjung ke rumah Tuk Dolah. Dari situ mereka akan berjalan. Jaraknya memang jauh dan memenatkan. Badan pasti berpeluh. Ketika melalui jalan yang berturap batu merah itu boleh dikatakan beruntung jika cuaca panas. Hanya perlu menutup hidung bagi mengelak debu berterbangan. Namun tidak demikian jikalau hujan atau musim hujan. Keadaan jalan itu berubah seperti bubur. Tiada tempat untuk mengelak ketika melaluinya melainkan terpaksa diredah juga.
Selagi belum tiba di sebuah jambatan kayu yang merintangi sebuah sungai, bermakna jarak ke rumah Atuk masih jauh. Mujur terdapat deretan pohon-pohon kelapa di kiri kanan jalan itu.
Setidak-tidaknya ia sedikit teduh dan mengurangkan bahang panas.
Tanah di situ terdiri daripada tanah gambut. Maka pokok seperti kelapa hidup subur. Tanah begitu juga amat sesuai bagi tanaman kopi, pisang, ubi, keladi, kemili, keledek, tomato serta sayur-sayuran seperti bayam, meranti, labu, mentimun, petola dan sebagainya.
Kesemua anak Mak Uteh iaitu Som, Imah, Awa, Li dan Udin yang tinggal di belakang rumah Atuk begitu gembira jika mengetahui akan kedatangannya. Keseronokan terpancar di wajah masing-masing ketika Aman muncul. Pastilah kedatangan itu amat di alu-alukan kerana mereka boleh bersama-sama mandi, berenang, bergurau, bermain dan terjun dari pangkin di parit depan rumah
Atuk. Perangai Mak Uteh biasanya akan berubah baik. Dia tidak akan terjerit-jerit dan memarahi anak-anaknya seperti biasa. Gasaklah selama mana mereka tahan berendam. Itulah hikmahnya bila Aman ada.
Namun perkara yang paling disukai Aman tidak lain ketika menyauk udang gantung. Udang yang ukurannya sebesar jari kelingking itu kerap bersembunyi di balik rimbunan rumput dan lumut yang terdapat di tepi tebing parit. Bergilir-gilir mereka menyauk dan bila mendapat udang masing-masing bersorak gembira.
Jika sudah puas berendam mereka beralih ke aktiviti memancing. Pancing ringkas di buat tanpa perlu mengunakan mata kail. Memadai mengikat benang pada kayu sebagai joran. Kemudian cacing sebagai umpan di ikat pada hujung benang tersebut. Lalu mereka menuju ke parit-parit kecil yang terdapat di sekitar kebun. Biasanya ikan tempala banyak terdapat di parit yang airnya kecoklatan dan terdapat pokok pakis.
Kegembiraan berganda lebih dirasai Aman ketika tiba musim perayaan. Rumah Atuk menjadi tumpuan seluruh ahli keluarga. Mereka berkampung di situ. Rumah limas Atuk riuh-rendah jadinya.
Pelbagai celoteh, senda gurau, ketawa terkekek-kekek, usik mengusik saling bercampur-baur. Memang membingitkan telinga. Sambil itu mereka menikmati aneka juadah, sama ada yang tersedia atau dibawa dari rumah.
Di musim perayaan begitu, Aman juga sukar melupakan peristiwa di mana Atuk secara sembunyi-sembunyi mengagihkan beberapa tepek mercun kepadanya adik-beradik. Peliknya ia tidak diberi pada cucu-cucu lain. Mercun itu Atuk simpan di dalam sebuah bekas dan disorok atas almari. Lucu bila mengenang akan muslihatnya itu. Secara tidak langsung terserlah sikap pilih kasihnya. Mengapa di antara sekian ramai cucu hanya anak mak mendapat kelebihan? Aman tiada sebarang jawaban.
Adakalanya terkenang juga perjuangan gigih Atuk dan nenek semasa mencari rezeki. Misalnya mereka sanggup meninggalkan rumah di malam hari, walaupun ketika itu Aman sekeluarga datang menginap. Mulanya Aman musykil. Jika di sebelah siang jelas mereka bekerja di kebun namun apa pula yang dikerjakan di malam hari? Demikian di antara pertanyaan yang menyerang fikirannya. Akhirnya ditemui juga jawaban. Semalaman mereka mengambil upah mencungkil isi kelapa yang di salai di kebun Gom Pei yang terletak di darat. Menjelang subuh baru mereka tiba di rumah semula.
Atuk berasal dari tanah Seberang. Sekian lama merantau dia bertemu jodoh dengan Nenek Hawa. Sejak itu dia bermustautin di tanah Semenanjung. Mereka banyak meneroka tanah yang kebanyakan masih di penuhi hutan tebal. Tanah yang diteroka dan kemudian mendapat hakmilik kebanyakan terdiri tanah kebun. Namun tanah di miliki Atuk telah banyak terlepas ke tangan orang. Desakan hidup, tertipu, urusan perubatan, merudumnya harga segala hasil tanaman, membaiki kediaman adalah di antara sekian banyak sebab tanah yang dulunya banyak itu lenyap sedikit demi sedikit.
Mak berkali-kali menyatakan rasa sayangnya jika tanah peninggalan seluas dua ekar itu pun turut terlepas ke tangan orang. Sebab itu, sebaik mendengar ura-ura ia hendak dijual mak jadi bingung. Tidak keruan dibuatnya. Siang malam otaknya ligat berfikir bagi mencari jalan agar tanah itu dapat di selamatkan. Begitulah. Setiap kali usai solat mak terus panjatkan doa. Mak pohon petunjuk Illahi agar kerunsingan itu terlerai.
Lainlah mak orang berada. Bertimbun harta dan wang. Berulang kali telah dihitung dan dicongak wang simpanan. Namun mak mengeleng kerana sedar masuknya kurang keluarnya banyak. Apa lagi sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Sejak Una anak bungsunya ke universiti, perbelanjaannya meningkat mendadak. Harapkan PTPTN? Ia sekadar mencukupi melunaskan yuran semester. Makan minum, buku, photostat dan lain-lain perbelanjaan budak itu hendak dikorek dari mana jika bukan wang simpanan yang tidak seberapa itu?
“Mak betul-betul sayangkannya, Man. Ya lah, di situ dulu kampung halaman mak, tempat mak membesar, tempat mak bermain, tempat mak belajar mengaji, berzanji dan sebagainya, Rasa nak menangis jika terkenangkannya.” Kelihatan jelas kelopak mata mak berkaca. Diusap kemudian dengan lengan baju.
Aman mendengar setiap luahan kata tersebut. Faham dia akan segala perasaan yang bermain dibenak mak. “Bukan mak seorang tapi saya juga sayangkannya,”
Justeru adik-beradik mak lain seperti mak Itam Ju, pak cik Melan, mak ngah Kiah dan mak usu Sitah sudah lama berhijrah dan membawa haluan hidup masing-masing, mereka tidak begitu endahkan lagi hal tanah itu. Selama ini jika tiada hal mustahak seperti majlis perkahwinan atau kematian saudara mara memang mereka tidak balik. Selain tinggal jauh, faktor usia juga tidak begitu mengizinkan. Adik-beradik mak yang masih tinggal itu ada yang menetap di kota dan Tanah Rancangan Felda.
Mak sebagai anak ke tiga tidak ke mana-mana sejak berumah tangga. Hanya menetap di kampung yang jaraknya lebih kurang 20 kilometer dari kampung Atuk. Semasa Atuk dan nenek semakin uzur mak kerap berulang-alik. Mak juga yang membantu membersihkan kebun itu sehinggalah ketiadaan kedua-duanya.
“ Tidak semena-mena saja ia ditimbulkan. Idea dari siapa mak?” Tanya Aman sambil mendekati mak yang menyiang sayur. Ringan tangannya turut mengetus daun dan batang kangkung yang akan ditumis. Bila sesekali dia balik, semacam kemestian lauk kegemaran itu disediakan maknya. Begitu ketara selirat urat timbul di sepanjang pergelangan tangan mak. Diam tak diam usia mak menjangkau 70. Syukur mak masih dikurniai kesihatan yang baik.
“Pak cik Melan! Entah apa mimpinya.”
“Pak cik Melan?” Aman seakan terkejut.
“Ya…! Siapa lagi?” Mak anggukan kepala. Padahal sejak berpuluh tahun berhijrah ke Tanah Rancangan Felda dia memang jarang menjenguk kampung. Kampung seakan telah lenyap daripada kepalanya. Namun baliknya yang mendadak sebulan lalu membawa berita tidak menyedapkan mak.
“Menurutnya perkara ini telah pun diberitahu pada kesemua adik-beradik mak. Katanya, mereka semua menyatakan persetujuan dan menyokong. Namun sejauh mana kebenarannya mak tak tahu.” Sambil pandangan mak beralih ke kuali. Minyak telah panas. Kangkung ditumis sebelum mengoreng tempe dan tauhu.
“Tiada siapa yang membantah? Semuanya jadi pak turut? Begitu mudah bersetuju?” Tanya Aman. Kepalanya digeleng.
“Mungkin mereka malas nak bertekak. Itu yang mak agak.” Mak bersuara hambar seperti kesal dengan sikap adiknya yang tidak berubah sedari dulu. Sikap keras kepala, degil, kuat melawan dan tak makan nasihat itu belum luput walaupun kian berusia. Demikian juga sikapnya yang gemar bertindak terburu-buru itu.
“Ah! Nak buat apa lagi tanah itu. Siapa yang nak mengerjakan, kak? Takkan nak dibiarkan begitu selamanya? Itu yang saya fikir lebih baik dijual. Hah! Sedikit atau banyak duitnya kita bahagi sama rata. Habis cerita.” Itulah di antara kata-kata diluahkan pada mak.
Mak bukan memandang duit. Banyak sikit duit masih boleh dicari. Misalnya dengan membuat kuih siput yang dijalankan dari rumah selama ini memberi pulangan yang memuaskan juga.
Namun kini memiliki tanah lebih sulit. Jika ada pun ia tidak sepadan dengan harganya yang seperti tidak masuk akal. Itu yang mak fikirkan. Mak lalu meminta tempuh sebulan dua pada pak cik
Melan. Jika dalam masa itu mak gagal menunaikan janji, pak cik Melan boleh meneruskan hasratnya. Mak ada juga terdengar khabar dari seseorang yang adiknya itu berunding lebih dulu dengan Gom Pei yang bersedia menjadi pembelinya.
“Boleh tolong mak dapatkan wang sebanyak itu, Man?”
“Untuk apa, mak?”
“Wang pendahuluan untuk tanah tersebut. Juga sebagai tanda jadi mak yang beli.” Sambil mak mengambil lesung batu. Cili merah, cili padi, belacan, garam dan gula dimasukkan sekali. Setelah sambal lumat barulah nanti diperah air limau kasturi.
Aman terbaring di pintu selepas makan dan berehat. Angin yang kerap bertiup terasa nyaman.
Tidak sampai setengah jam dia sampai di rumah yang berdekatan warung. Tujuannya menemui dan berbincang dengan Kamal, abang sulungnya.
“Kalau boleh kita pertahankan sama-sama sebelum ia terlepas,” demikian Aman menerangkan pada Along Kamal yang mengangguk-angguk faham. Jika adiknya yang bekerja di Kuala Lumpur itu tidak bercerita, dia pun tidak tahu yang tanah gemulah Atuk itu hendak dijual. Sungguh dia juga terkejut.
Masing-masing bersepakat membantu mak. Kedua-duanya bergerak ke pekan di mana terdapat mesin ATM. D iawal pagi, wang berjumlah rm10,000.00 Aman serahkan pada mak yang tersenyum di muka pintu.
Menurut mak ia akan diserahkan pada pak cik Melan yang akan datang bila-bila masa. Sementara bakinya sebanyak rm300,000.00 itu tahulah Aman berikhtiar mendapatkannya. Sepanjang memandu pulang terbayang olehnya pinjaman dari bank selain koperasi. Dia juga terbayang mencagar rumah kesayangan. Tidak mengapa asalkan tanah Tuk Dolah tidak terlepas ke tangan orang. – UTUSAN










