SEOUL: Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Korea Selatan (NIS) mendedahkan kira-kira 1,500 tentera pasukan khas Korea Utara dihantar ke Russia bagi menjalani latihan menyesuaikan diri di pangkalan tentera tempatan.
Agensi itu berkata, pasukan itu berkemungkinan akan menyertai pasukan tentera Russia untuk bertempur dalam perang terhadap Ukraine.
Difahamkan, pasukan itu ditugaskan sebagai pasukan sokongan membantu tentera Russia menembak peluru berpandu Korea Utara.
“Korea Utara membekalkan lebih 13,000 kontena peluru artileri, peluru berpandu balistik dan roket antikereta kebal ke Russia sejak Ogos, tahun lalu, berdasarkan sisa peninggalan senjata yang ditemukan di medan pertempuran di Ukraine.
“Kerjasama langsung ketenteraan antara Russia dan Korea Utara yang dilaporkan oleh media asing kini disahkan secara rasmi.
“Secara keseluruhan, lebih lapan juta peluru meriam dan roket sudah dihantar ke Russia,” kata agensi itu.
Susulan perkembangan itu, NIS bekerjasama dengan Perkhidmatan Perisikan Ukraine dan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) pengecaman muka untuk mengenal pasti pegawai Korea Utara di wilayah Donetsk, timur Ukraine. -REUTERS











