KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM421 bilion tahun depan bagi mempertahankan pertumbuhan ekonomi, mengekalkan subsidi untuk 85 peratus rakyat, menarik balik subsidi pendidikan, petrol RON95 dan kesihatan untuk golongan T15 terkaya, menaikkan gaji minimum serta tidak akan melaksanakan projek mega.
Belanjawan 2025, terbesar dalam sejarah negara menyaksikan kenaikan gaji asas daripada RM1,500 kepada RM1,700, selain pengenalan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan.
Kerajaan juga tidak melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi melindungi kepentingan 85 peratus penduduk tetapi meminta golongan kaya membayar jumlah lebih tinggi untuk pendidikan di sekolah asrama dan hospital kerajaan.
Belanjawan 2025 membabitkan RM421 bilion dengan RM335 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM86 bilion pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Belanjawan 2025 hampir tujuh peratus lebih tinggi berbanding RM393.8 bilion yang diperuntukkan tahun ini. Defisit kewangan negara dijangka terus menurun dan kerajaan melaksanakan pelbagai program rasionalisasi, pengurangan pembaziran, meningkatkan hasil termasuk menggabungkan pelbagai agensi yang bertindan.
Kakitangan awam berjumlah 1.6 juta, golongan M50 utama negara, menjadi penerima terbesar dengan kenaikan gaji dengan perbelanjaan mengurus negara mencapai RM335 bilion berbanding RM321.5 bilion pada 2024 dan RM311 (2023).
Kerajaan juga mengenakan cukai dividen dua peratus bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025, disasarkan kepada golongan T15 serta memaksa golongan ini membayar lebih untuk pendidikan di sekolah asrama dan universiti awam.
Pada masa sama kerajaan menaikkan kadar duti eksais minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari 2025 sebanyak 40 sen seliter sebagai ‘War on Sugar’.
Bagi meningkatkan wang milik rakyat kerajaan juga memberi pelbagai pelepasan cukai pendapatan untuk perbelanjaan kesihatan ahli keluarga dan insurans serta pembelian rumah.
Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar berjumlah RM64.1 bilion, berbanding RM58.7 bilion tahun ini, juga tertinggi dalam sejarah, manakala Kementerian Kesihatan menerima RM45.3 bilion berbanding RM41.2 bilion untuk 2024.
Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan 2025 menekankan usaha pemulihan ekonomi, menguasai aspek inovasi, selain memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil dan saksama.
“Kerajaan komited untuk mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat, seperti yang dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik, apabila 85 peratus rakyat tidak terkesan.
“Bagi mengelakkan kekeliruan, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa tanggungan subsidi masih diteruskan untuk 85 peratus rakyat. Maknanya, Kerajaan akan terus menanggung subsidi yang dianggarkan berjumlah RM12 bilion untuk keperluan 85 peratus rakyat,” katanya ketika membentang Belanjawan 2015 di Dewan Rakyat semalam.
Anwar yang kali ketiga membentang Belanjawan Negara di Dewan Rakyat menegaskan penyasaran subsidi petrol RON95 akan dilaksanakan pertengahan tahun 2025.
Beliau juga Perdana Menteri menegaskan, tumpuan kerajaan adalah kepentingan rakyat dan meningkatkan taraf hidup.
“Sekarang bukan masanya melaksanakan projek mega. Pembangunan negara akan menumpukan kepada projek-projek berkepentingan rakyat serta kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri,” katanya.
Bagi membiayai perbelanjaan RM421 bilion kerajaan tahun depan, hampir 42 peratus atau RM175 bilion dijangka diperoleh menerusi cukai pendapatan. Kerajaan juga bertindak menaikkan beberapa cukai
Anwar juga berkata petunjuk ekonomi yang menggalakkan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan dengan pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 mencapai 5.9 peratus berbanding 4.2 peratus suku pertama.
“Kita mencipta sejarah tahun lalu apabila meraih pelaburan diluluskan 329.5 bilion ringgit – tertinggi pernah direkodkan,” katanya, sambil menambah ringgit diiktiraf mata wang dengan prestasi terbaik di dunia mengukuhkan 14.4 peratus berbanding dolar Amerika dalam suku ketiga 2024; terbaik sejak tahun 1973 selain pasaran ekuiti domestik mencecah angka tertinggi melepasi RM2 trilion.
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2024 diunjur lebih kukuh antara 4.8 hingga 5.3 peratus.
“Tahun hadapan, kita yakin ekonomi negara berkembang kukuh antara 4.5 hingga 5.5 peratus, didukung langkah dan strategi Belanjawan MADANI Ketiga 2025,” katanya.
Kira-kira RM106 bilion disediakan kerajaan untuk emolumen manakala pesara kerajaan diperuntukkan RM40.4 bilion, menjadikan kumpulan ini penerima terbesar program ekonomi Madani dalam Belanjawan 2025.
Pelarasan gaji yang diumumkan kerajaan akan membabitkan perbelanjaan tambahan RM10 bilion selain pemberian bantuan khas RM500 pada Februari tahun hadapan kepada semua kakitangan awam.
Dalam ucapan belanjawan selama 2 jam dan 26 minit itu Anwar melengkapkan pembentangan dengan puisi mengenai kecintaan kepada negara sebagai teras pembangunan negara. – UTUSAN










