Lebih 30 peratus kanak-kanak bawah tiga tahun berisiko anemia

Lebih 30 peratus kanak-kanak bawah tiga tahun berisiko anemia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIRA-KIRA 30.3 peratus atau satu daripada tiga kanak-kanak berusia bawah tiga tahun di lima bandar di negara ini dikesan berisiko menghidap anemia kekurangan zat besi (IDA).

IDA terjadi apabila tubuh kekurangan zat besi untuk menghasilkan sel darah merah yang bermutu. 

Akibatnya, badan tidak boleh menghasilkan hemoglobin iaitu protein penting dalam sel darah merah untuk membawa oksigen ke seluruh badan. 

Pakar Perunding Kanan Pediatrik Endokrinologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof. Dr. Muhammad Yazid Jalaludin berkata, dalam jangka masa panjang, IDA boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan otak kanak-kanak kerana, 80 peratus perkembangan otak dibentuk pada dua tahun pertama kelahiran. 

Ujarnya tanpa zat besi secukupnya sejak lahir, kecerdasan otak (IQ) boleh terganggu hingga dewasa.

 “Kekurangan itu turut melibatkan tumbesaran  zikal yang terbantut dan masalah pada sistem imun. 

“Justeru, tidak hairanlah apabila ramai kanak-kanak kini yang kerap demam, batuk, sakit tekak dan diserang pneumonia kerana daya tahan lemah,” katanya selepas Forum Perbincangan Anemia Kanak-kanak – Penyelesaian Inovatif Perangi Epidemik Senyap di sini baru-baru ini. 

Turut hadir Pensyarah Pemakanan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Hamid Jan dan Pengarah Hab Sains Perubatan & Pemakanan Danone Asia Tenggara, Angie Low.

Muhammad Yazid memetik kajian Kuat Zat Besi melibatkan seramai 1,215 responden berusia antara enam bulan hingga 3 tahun, pada 2022. 

Kajian diketuai olehnya itu, dilakukan di klinik-klinik kesihatan terpilih di Klang, Selangor, Endau (Johor), Kota Bharu (Kelantan), Alor Setar (Kedah) dan Kota Kinabalu (Sabah). 

Proses saringan bersifat tidak invensif iaitu dengan menggunakan peralatan mesin khas yang diletakkan pada jari kaki kanak-kanak. 

Hasil penemuan agak membimbangkan kerana sebanyak 35 peratus bayi bawah setahun berisiko IDA manakala 27.7 peratus bagi yang berumur 1 hingga 3 tahun. 

Kebanyakannya merekodkan paras hemoglobin bawah 12 g/ dl. 

“Dapatan ini menunjukkan kanak-kanak kecil lebih berisiko untuk mengalami IDA berbanding yang besar. 

“Namun tiada beza dari segi lokasi bandar atau luar bandar kerana kedua-duanya terdedah kepada risiko IDA,” katanya. 

Kajian turut merekodkan diet responden dalam saringan itu tetapi butiran berkenaan masih dalam diperolehi kerana sedang dianalisis. 

Bagaimanapun, rata-rata responden mengakui tidak mengambil sumber protein dan vitamin C mencukupi dalam diet harian. 

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mendapati, 46.5 peratus kanak-kanak berumur bawah lima tahun di Malaysia menderita akibat anemia. 

Angka itu jauh lebih tinggi berbanding perangkaan di peringkat global yang sebanyak 39.8 peratus.

 

TUNGGU ANAK PUCAT? 

Antara simptom IDA ialah kelesuan, kurang makan, sakit lidah, pening atau sakit kepala, sesak nafas dan sukar menumpukan perhatian. 

Namun pada kebiasaannya ia berlaku tanpa gejala dan boleh mempengaruhi kesan kesihatan jangka panjang dan saringan dengan menggunakan mesin khas. 

“Ibu bapa atau penjaga diingatkan agar tidak menunggu sehingga wajah anak bertukar pucat, untuk mendapatkan rawatan. 

“Pucat berlaku apabila paras hemoglobin merosot bawah 7 g/dl iaitu petanda seseorang mengalami anemia teruk,” katanya. 

Tegasnya, sikap ibu bapa yang cenderung memaksa anak-anak menghabiskan ‘nasi’ perlu segera diubah sebaliknya menggalakkan anak makan sumber protein dan vitamin yang lain. 

“Ibu bapa hanya ‘paksa’ anak-anak habiskan nasi tanpa menyuruh mereka makan daging, ayam, ikan di samping sayuran serta buah-buahan mencukupi,” katanya.

PENTING ASID FOLIK 

Bayi berusia bawah enam bulan hanya mendapat zat besi menerusi nutrien susu ibunya.

Justeru, adalah penting untuk wanita yang menyusu badan menjaga pemakanan mereka dan memastikan zat besi sentiasa mencukupi. 

Paling mudah adalah dengan meneruskan pengambilan asid folik dari mula hamil sehingga bayi dilahirkan dan mencecah usia sekurang-kurangnya enam bulan. 

Asid folik berfungsi untuk meningkatkan simpanan zat besi dan mengelakkan anemia pada wanita hamil serta anaknya.

“Kebanyakan ibu berhenti mengambil asid folik selepas bersalin, sedangkan rutin ini perlu diteruskan semasa proses penyusuan. 

“Amalan ini dapat mengurangkan risiko anemia pada dirinya dan bayi terutama yang di bawah enam bulan,” katanya. 

 

SARINGAN BUKAN INVENSIF 

Sekumpulan 28 pengamal perubatan di Asia termasuk Malaysia menyarankan supaya saringan anemia bukan invasif dilaksanakan setiap tahun untuk kanak-kanak berumur antara satu hingga lima tahun. 

Muhammad Yazid berkata, pendekatan strategik itu bertujuan menambah baik pengesanan awal dan pengurusan IDA. 

Dalam masa sama, ia dapat menekankan kepentingan intervensi pemakanan, terutama pengukuhan
sajian dan susu untuk membantu mengurangkan risiko itu kepada semua kanak-kanak.

“Walaupun kelaziman IDA agak membimbangkan pada kanak-kanak Malaysia, namun dasar kebangsaan mengenai saringan rutin dan intervensi masih tidak mencukupi. 

“Ketika ini, saringan hanyalah sebahagian daripada strategi komprehensif, justeru, pendekatan holistik perlu untuk memerangi gejala berkenaan dalam kalangan kanak-kanak,” katanya. 

 

GANDING PROTEIN, VITAMIN C 

Pengambilan sajian yang mengandungi zat besi dan penggalak kaya vitamin C amat disarankan bagi mencegah IDA dalam kanak-kanak. 

Gandingan kedua-dua nutrien itu boleh meningkatkan penyerapan dengan ketara, sekali gus memudahkan si kecil meraih manfaat daripada pengambilan zat besi mereka. 

Hamid berkata, antara makanan tersebut ialah daging tanpa lemak, ayam, itik, kekacang dan sayuran hijau. 

“Menangani IDA pada kanak-kanak memerlukan pendekatan pelbagai dimensi yang menggabungkan pengesanan awal dengan intervensi pemakanan komprehensif. 

“Bagi kanak-kanak yang mungkin kurang akses kepada diet pelbagai, susu dan makanan diperkaya memainkan peranan penting dalam memastikan pengambilan zat besi mencukupi. 

“Apa yang lebih merisaukan, IDA yang ditangani dengan sempurna boleh menjejaskan otak dan menyebabkan kanak-kanak kurang cemerlang dan corot dalam peperiksaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×