Mzul Helmy tak kejar kemasyhuran - Utusan Malaysia

Mzul Helmy tak kejar kemasyhuran

Mohamad Zul Helmi Abdullah atau Mzul Helmy.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Populariti merupakan tanda baik untuk peningkatan kerjaya seseorang artis. Begitu pun, ia juga mampu menghanyutkan sekali gus memusnahkan kerjaya mereka.

Tujuh tahun menceburi bidang seni lakonan namun hingga kini nama pelakon Mzul Helmy masih belum panas dan terpalit dengan kontroversi. Baginya, setiap apa yang dilakukan oleh golongan artis sentiasa menjadi perhatian.

Justeru itu, jelas Mzul Helmy atau nama lengkapnya Mohamad Zul Helmi Abdullah, 27, yang mula dikenali menerusi drama Isteri Untuk Disewa berkata, dia mahu dikenali menerusi persembahan lakonannya selain menjaga maruah keluarga.

“Alhamdulillah nama saya masih bersih dan tidak panas dengan sebarang kontroversi. Mungkin segelintir artis ada yang beranggapan kontroversi penting untuk dikenali tetapi biarlah orang kenal saya dengan hasil lakonan.

“Saya percaya ada sahaja artis yang naik tanpa kontroversi sebagai contoh Alif Satar. Ada pun mereka yang berlakon setahun dua sudah dapat pegang watak utama, itu mungkin kerana lakonannya bagus ataupun ada pakej rupa paras.

“Lambat atau cepat semuanya kerja Tuhan. Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon dan cuba untuk berikan yang terbaik.

“Satu hal yang membimbangkan tentang kontroversi ini adakalanya memberikan kesan kepada orang sekeliling kita juga, saya masih ada ibu bapa dan keluarga. Saya tak mahu orang salah anggap saya masuk bidang ini sebab glamor,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Berkongsi mengenai kesediaan untuk menggalas peranan besar, anak jati kelahiran Kulim, Kedah itu memberitahu, dia masih lagi menantikan peluang dan rezeki untuk menyandang watak-watak utama.

“Dari segi perwatakan saya tidak kisah. Secara peribadinya, watak yang baik-baik pun saya terima walaupun sejak setahun dua ini banyak melakonkan watak jahat. Muka saya nampak jahat ke? (seloroh kecil).

“Bukannya takut orang benci malahan saya percaya kekuatan pada watak jahat ini lebih meninggalkan kesan dan menjadi bualan penonton.

“Seandainya rezeki masih berpihak untuk melakonkan watak utama antagonis saya tetap akan terima kerana itu satu kepercayaan daripada pengarah mahupun penerbit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mzul baru sahaja habis penggambaran drama bersiri Man Transform di saluran Awesome TV arahan sutradara Al Jafree Md Yusof terbitan Suhan Movie. Antara drama lain yang dibintanginya seperti Bila Ada Aidil dan Fitri, Kerna Syurga Bukan Percuma, manakala filem Pinjamkan Hatiku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×