Serangan lebih dahsyat jika Israel serang Lubnan - Hezbollah

Serangan lebih dahsyat jika Israel masih serang Lubnan – Hezbollah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Kumpulan Hezbollah mengancam melancarkan lebih banyak serangan ke Israel sekiranya pasukan rejim masih meneruskan pengeboman di Lubnan.

Amaran itu dibuat selepas serangan dron Hezbollah terhadap pangkalan berhampiran Haifa kelmarin, membunuh sekurang-kurangnya empat askar Israel.

Hezbollah mengingatkan Israel untuk bersedia dengan kemungkinan akibat lebih besar menanti berbanding serangan di selatan Haifa, jika rejim masih menyerang rakyat Lubnan.

Kumpulan yang disokong Iran itu berkata, ia melancarkan puluhan peluru berpandu ke arah Nahariya dan Acre di utara Haifa dengan tujuan mengganggu sistem pertahanan Israel.

Pada masa sama, Hezbollah melancarkan skuadron pelbagai dron, dengan beberapa daripadanya digunakan buat kali pertama, ke pelbagai kawasan di Acre dan Haifa.

Menurut laporan AFP, dron tersebut dapat melepasi radar pertahanan udara Israel tanpa dikesan dan membedil kem latihan di Binyamina, selatan Haifa.

Ia dilaporkan meletup di dalam bilik yang menempatkan puluhan pegawai Israel dan askar musuh.

Selepas mendakwa serangan di Binyamina, Hezbollah memaklumkan turut melancarkan peluru berpandu ke arah pangkalan penyelenggaraan dan pemulihan tentera di selatan Haifa.

Insiden berlaku dua hari selepas siren serangan udara berbunyi di tengah Israel setelah dua dron memasuki negara itu dari Lubnan.

Sekurang-kurangnya sebuah bangunan di utara Tel Aviv rosak semasa insiden tersebut.

Hezbollah kerap melancarkan roket dan dron ke Israel selama lebih setahun, tetapi aktiviti ini meningkat sejak pertempuran pada akhir September lalu.

Pertahanan udara Israel, termasuk sistem Iron Dome, memintas kebanyakan peluru berpandu, dengan sedikit kematian disebabkan oleh serangan atau serpihan yang jatuh.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×