PETALING JAYA: Syed Yazid Syed Omar menepati ramalan apabila dipilih menjadi Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) selepas menang dalam Kongres Pemilihan KLFA Ke-35 di Cheras semalam.
Syed Yazid yang juga Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memenangi kerusi panas itu selepas meraih 15 undi menewaskan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang menyandang tugas pemangku presiden sebelum ini apabila terpaksa berpuas hati dengan 12 undi.
Syed Yazid yang bakal memimpin persatuan hingga 2028 mengakui tiada tempoh rehat buatnya dan barisan Exco baharu kerana kerja telah bermula sebaik sahaja dipilih.
Tegasnya, fokus utama akan diberikan untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pasukan Kuala Lumpur (KL) City.
“Alhamdulillah saya dapat menang Kongres pemilihan kali ini. Sebagai Presiden, ini adalah amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul kerana tumpuan selepas ini adalah cara kami menyelesaikan isu tunggakan gaji.
“Namun, saya tidak boleh memberi garis masa mengenai bila isu tersebut boleh diselesaikan (sepenuhnya) kerana kita perlu adakan mesyuarat untuk meneliti jumlah sebenar tunggakan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerjq (KWSP).
“Selain itu, fokus kita juga adalah untuk menaikkan kualiti pentadbiran pengurusan KL City serta mahu bertemu dengan barisan pemain selepas ini,” katanya kepada media semalam.
KLFA sebelum ini diterajui oleh ahli politik, Khalid Abdul Samad sebelum membuat keputusan untuk melepaskan jawatan pada Mac lalu.
Dua jawatan Timbalan Presiden pula dimenangi Datuk Sri Wong Yeon Chai yang meraih 15 undi, manakala Datuk Kamarudin Hassan mendapat 18 undi. – UTUSAN
INFO
PRESIDEN
Syed Yazid Bin Syed Omar-15 undian
TIMBALAN PRESIDEN
1.Datuk Kamarudin Hassan- 18 undian
2.Datuk Seri Wong Yeon Chai -15 undian
NAIB PRESIDEN
1.Datuk Ramlan Shahean @ Askolani -17 undian
- Nor Asyikin Jaafar 15 undian
- Datuk Sham Shamrat Sen Gupta – 15 undian
- Senator Datuk Hisamudin Yahaya – 14 undian
AHLI JAWATANKUASA EKSEKUTIF (EXCO)
Muhammad Hanafi Jamalluddin -26 undian
Amir Mahmood Abdul Razak -25 undian
Mohd Zushaidey Zulkifli -16 undian
Mohd Faizul Mohd Nor -16 undian
Mohd Fadil Taib -16 undian
Mohd Ismirul Azlan Ismail -15 undian
Abdullah Izhar Mohamed Yusof -14 undian
Datuk Mohamed Rozhan Mohd Ghazali-14 undian
Khairul Azuan Abd Ghani-14 undian
Abdullah Abdul Hamid- 14 undian










