GAZA: Tiada satu pun bantuan makanan memasuki utara Gaza sejak awal Oktober, meletakkan lebih sejuta penduduk dalam risiko kebulurun, lapor Program Makanan Sedunia (WFP).
Menurut WFP, pada bulan Ogos, kira-kira 700 ratus trak bantuan memasuki utara Gaza namun pada September, hanya 400 trak diterima selepas operasi komersial dihentikan di lintasan Allenby di sempadan antara Tebing Barat dan Jordan yang diduduki.
Rabu lalu, laporan WFP mendedahkan bantuan yang memasuki wilayah terkepung itu menjunam ke paras terendah dalam beberapa bulan, hingga memaksa organisasi itu menghentikan pengedaran bungkusan makanan.
“Kebuluran terus berleluasa dan ancaman kebuluran berterusan. Sekiranya aliran bantuan tidak diteruskan, satu juta rakyat Palestin yang terdedah akan dilucutkan peluang untuk talian hayat terakhir ini,” katanya.
Sementara itu, menurut rakaman terbaharu oleh CNN dan beberapa pekerja sukarelawan, dua kedai roti utama di tengah Gaza turut ditutup selama tiga hari akibat kekurangan bekalan.
Al-Banna Bakery dan Zadna Bakery di Deir al-Balah yang disokong WFP terpaksa menghentikan operasi kerana kekurangan tepung dan bahan api.
“Saya ketua keluarga kepada enam orang. Pada hari saya bekerja, saya boleh memberi makan kepada keluarga saya. Jika saya tidak bekerja, seluruh keluarga tidak dapat makan.
“Orang ramai mengejar bekalan tepung dan kini kami perlu pergi ke kedai-kedai untuk mencari roti yang masih tersedia,” kata seorang pekerja di Al-Banna Bakery, Ahmad Abed.
Pengarah Rangkaian Pertubuhan Bukan Kerajaan Palestin, Amjad Al-Shawa berkata, kekurangan tepung dan beberapa lagi bahan lain menyebabkan penutupan kedai roti penting badan-badan bantuan kemanusiaan.
“Kebanyakan rakyat kita yang datang ke sini bergantung kepada bantuan ini untuk meneruskan hidup. Kini mereka menghadapi risiko kelaparan dan kebuluran,” tambah Amjad.
Roti kekal sebagai makanan ruji nombor satu bagi rakyat Palestin dan menjadi keperluan asas yang penting sejak perang bermula lebih setahun lalu.
Menurut laporan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) awal minggu ini, bulan lalu menyaksikan jumlah terendah bekalan komersial dan kemanusiaan memasuki Gaza sejak Mac 2024.
Tentera Israel melancarkan operasi darat baharu di utara Gaza pada 6 Oktober selepas melihat tanda-tanda kebangkitan Hamas.
Tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan baharu untuk penduduk di utara Gaza dan mendakwa sudah meluaskan skop kawasan kemanusiaan di Al-Mawasi di selatan.
Tetapi beberapa penduduk memberitahu, mereka berdepan pelbagai ancaman ketika meninggalkan utara Gaza kerana masih banyak serangan Israel menyasarkan Hamas di zon selamat yang ditetapkan rejim itu.










